KUALA LUMPUR – UMNO-Barisan Nasional (BN) meletakkan keyakinan rakyat bakal memberikan mandat sekali lagi kepada parti pemerintah itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, pada Sabtu.

Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berdasarkan kepada rekod prestasi dan khidmat terbaik yang ditunjukkan penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin sebelum ini.

“Insya-Allah melihat kepada jentera kita usaha kuat dari mula dan ini adalah kesinambungan Allahyarham YB Ishsam yang telah menunjukkan kerja yang baik.

“Saya percaya pengundi di Ayer Kuning akan memilih calon daripada BN.

“Ia akan memudahkan wakil rakyat yang dipilih nanti untuk menyampaikan masalah-masalah mereka kepada Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Persatuan Anak-Anak Pahang (PEKAP) di Dewan Perdana Felda.

Terdahulu, media melaporkan Ilham Centre hari ini mengeluarkan dapatan bahawa pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semakin cenderung menyokong calon Perpaduan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang sempat turun padang ketika berkempen untuk calon BN berkata, rakyat Ayer Kuning dilihat komited untuk bersama dengan kerajaan sedia ada.

“Jentera kita pun bekerja kuat. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jentera parti.

“Sebaik sahaja ketiadaan Allahyarham Ishsam, jentera kita telah pun turun kepada untuk memastikan pengundi-pengundi mendapat maklumat betul.

“Ia bagi memastikan rakyat tidak dikelirukan oleh persepsi dan mainan pihak pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here