Seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Selera dan Ops Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor di sekitar kawasan Puchong, semalam. Ihsan Foto : JIM Selangor

KUALA LUMPUR – Seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Selera dan Ops Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor di sekitar kawasan Puchong, semalam.

Operasi yang bermula pada jam 6.00 petang itu melibatkan seramai 18 pegawai diketuai oleh TPPI Mohd Asrul Hazdlyzan Zakaria.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Tuan Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan pertama dilakukan di Red Zues Bar and Bistro dengan pemeriksaan terhadap 27 individu.

“Setelah pemeriksaan dijalankan, seramai 17 orang telah ditahan iaitu 16 lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala, serbuan kedua di Night City pula menyaksikan 10 individu diperiksa dan enam daripadanya ditahan.

“Mereka terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh, seorang wanita warga Thailand, seorang wanita warga Vietnam, dan seorang wanita warga Morocco,” ujarnya.

Kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 44 tahun dan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Khairrul Aminus berkata, terdapat cubaan meloloskan diri serta bersembunyi di dalam almari dan berpura-pura menjadi pelanggan untuk mengelakkan diri daripada ditahan.

“Siasatan mendapati mereka telah bekerja lebih enam bulan di premis tersebut dan memasuki Malaysia melalui pintu masuk sah seperti KLIA dan Bukit Kayu Hitam, dengan diuruskan oleh agen masing-masing.

“Mereka turut disediakan tempat tinggal oleh agen serta bekerja sebagai GRO dan pelayan di premis terbabit,” tambahnya.

Dalam operasi itu juga, satu saman saksi telah dikeluarkan kepada individu yang berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here