TAPAH – Seramai 31,281 pengundi akan menunaikan tangggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran dibuka tepat jam 8 pagi tadi bagi membolehkan proses pengundian dijalankan sebelum ditutup secara berperingkat pada jam 4 dan 6 petang.

Foto : Abdullah Yusof
Hanya sebuah pusat mengundi akan ditutup jam 4 petang iaitu Sekolah Kebangsaaan (SK) Toh Tandewa Sakti manakala 18 buah lagi ditutup jam 6 petang.
Pada 14 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 116 kertas undi pos kepada pengundi yang berhak di Ayer Kuning termasuk 113 anggota polis dan tiga lagi bagi Kategori 1B yang merujuk warga Malaysia menetap di luar negara.
Sementara itu sebanyak 93.4 peratus anggota dan pegawai polis serta pasangan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada 22 April.
Proses pengundian awal itu berlangsung di dua pusat mengundi iaitu di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Foto : Abdullah Yusof
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara dua ustaz dan seorang peguam melibatkan Dr Mohamad Yusri Bakir dari Barisan Nasional (BN), Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Calon BN, Mohamad Yusri atau lebih mesra disapa Ustaz Yusri akan mengundi di SK Sungai Lesong, manakala calon PN, Abdul Muhaimin mengundi SK Ayer Kuning dan calon PSM, Bawani KS mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang 22 Februari lalu.
Rentetan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April depan.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). -MG Perak