Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap pada sidang akhbar pada Program 14TH Annual Affordable Housing Projects di Doubletree Hilton, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 APRIL 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan lawatan kajian khas di ibu negara untuk Ahli-ahli Parlimen bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, jemputan rasmi telah dihantar kepada semua Ahli Parlimen pada awal bulan April, termasuk penyokong kerajaan dan wakil rakyat pembangkang, untuk menyertai inisiatif tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 29 April.

“Saya ingin menjemput semua Ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang untuk melawat kawasan bandar yang daif dan uzur bersama KPKT serta mengkaji kejayaan projek-projek pembaharuan semula yang telah dilaksanakan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, lawatan kerja tersebut akan melibatkan tinjauan tapak ke beberapa flat uzur bagi mengkaji keadaan daif serta isu-isu setempat yang sedang dihadapi oleh penduduk di kawasan terbabit.

Ahli-ahli Parlimen juga berpeluang untuk meninjau projek pembaharuan semula bandar yang telah berjaya dilaksanakan, menerusi flat-flat usang telah dibangunkan semula menjadi kawasan kediaman yang lebih moden, selesa dan berdaya huni.

Menerusi lawatan ini katanya, KPKT berhasrat untuk menunjukkan potensi besar RUU Pembaharuan Semula Bandar dalam merancakkan semula kawasan bandar yang daif dan tidak lagi selamat, serta memperbaiki kualiti hidup rakyat.

“Kami telah mengatur tiga buah bas dari Parlimen untuk membawa semua Ahli Parlimen melihat sendiri keadaan usang dan daif di beberapa flat kos rendah yang sangat memerlukan perhatian segera.”

“Melalui lawatan ini, kami ingin menekankan keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang tersebut,” tambah beliau.

RUU Pembaharuan Semula Bandar telah dirangka sejak tahun 2013 dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sidang yang akan datang.

RUU ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan turut menurunkan ambang persetujuan penyertaan bagi mempercepatkan proses pembaharuan semula dan pemuliharaan bandar, khususnya bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk diduduki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here