Antara motosikal dan barang yang dirampas selepas empat lelaki ditahan dalam Op Lejang Khas di Iskandar Puteri, minggu lalu.

ISKANDAR PUTERI – Polis berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal jenis Yamaha (R) dengan menahan empat lelaki dalam Op Lejang Khas, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, dalam operasi yang dijalankan pada pukul 8.30 malam, 18 April hingga 3.30 pagi, 19 April lalu itu, polis turut merampas enam motosikal yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

“Kita menjalankan Op Lejang Khas bersabit kes curi motosikal di sekitar kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang.

“Hasil serbuan, empat lelaki berusia 26 hingga 31 tahun ditahan. Kita turut merampas tiga topi keledar dan pelbagai alatan membuka alat ganti motosikal,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Kumarasan berkata, kumpulan terbabit aktif sejak Oktober lalu dan dengan tangkapan dilakukan, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal yang berlaku di kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang.

Katanya, semakan mendapati semua lelaki itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif methamphetamine,” jelasnya.

Beliau berkata, semalam, tiga daripada mereka masing-masing dituduh membabitkan enam kes secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini.

“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor atau mana-mana bahagian komponen sebuah kenderaan motor serta Seksyen 411 kanun sama kerana menerima harta curi secara tidak jujur.

“Mereka dijatuhkan hukuman enam bulan hingga 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah mengikut pertuduhan kes masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Kumarasan berkata, pihaknya akan terus komited dalam usaha mencegah dan membanteras sebarang kegiatan jenayah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here