Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin (Naib Canselor UiTM) beramah mesra bersama petugas sempena Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) 2025.

SHAH ALAM – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Kolej Matrikulasi diminta mengambil peluang mengunjung Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) yang sedang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), dekat sini sehingga esok, 27 April 2025.

ESKU merupakan platform utama mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan kursus, program akademik, peluang pembiayaan, serta syarat kemasukan ke universiti ini.

Ekspo ini bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang, turut diadakan di UiTM cawangan negeri seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, bermula 10 Mei hingga 18 Mei 2025 mengikut jadual yang boleh dilayari melalui pautan selangkah.uitm.edu.my.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, penganjuran tahun ini lebih bersifat inklusif dan memfokuskan kepada pendekatan mesra pelajar dengan membawa tema dan slogan “Jadikan UiTM Pilihan No. 1” yang disokong oleh penggunaan logo khas bagi memperkukuh penjenamaan universiti.

“Kita mahu memastikan UiTM terus menjadi pilihan utama bukan hanya dari aspek akademik, tetapi juga nilai tambah yang ditawarkan – termasuk kebolehpasaran graduan, kemudahan pembiayaan, dan jaringan industri,” katanya.

Statistik semasa menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan UiTM bagi tahun 2024 telah meningkat kepada 92.6%, sekali gus menjadikan UiTM antara universiti paling diyakini oleh majikan.

Pada 22 April 2025, UiTM turut menerima “Employers’ Choice of University Award” daripada Talentbank bersama beberapa universiti tempatan yang lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sepanjang ESKU 2025, pelawat berpeluang mengunjungi ruang pameran interaktif yang melibatkan penyertaan semua 31 Pusat Tanggungjawab (PTj) di UiTM.

Pameran turut memberi peluang kepada pengunjung untuk berbincang secara terus bersama wakil akademik, mendapatkan khidmat nasihat, serta membuat semakan awal syarat kelayakan kemasukan melalui Sistem Semak Syarat di laman selangkah.uitm.edu.my.

Menariknya, ESKU 2025 bukan sahaja menyasarkan pelajar lepasan SPM dan Matrikulasi, tetapi juga membuka ruang kepada ibu bapa dan golongan profesional yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah.

“UiTM komited untuk menyediakan pendidikan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat — sama ada mahasiswa baharu atau calon Sarjana dan PhD,” tambah Dr. Shahrin.

Sebagai usaha berterusan memperkasa maklumat pendidikan tinggi, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat lengkap mengenai permohonan dan kemasukan ke UiTM dengan melayari portal rasmi pengambilan.uitm.edu.my/e-syarat atau mengunjungi reruai Bahagian Pengambilan Pelajar sepanjang ekspo berlangsung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here