MUAR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa usaha menjalin semula kerjasama antara BN dan PN hanyalah mimpi di siang hari sebagai penafian terhadap politik semasa.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, walaupun Ahmad Zahid cuba meyakinkan penyokong bahawa UMNO kekal dengan prinsip perjuangannya, namun realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya.
“Ini bukan mimpi di siang hari tapi sudah berlaku. Itu realiti dia (Ahmad Zahid) hendak nafi apa pun dia kata BN-UMNO bukan UMDAP.
“Tetapi yang nyata dia bermimpi di siang hari, rakyat tak bermimpi rakyat melihat hakikat kenyataan yang berlaku pada hari ini. Di mana orang melihat ia satu pengkhianatan pada perjuangan asal mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini, pada Sabtu.
Pada Jumaat, BN memberi bayangan jelas untuk tidak akan kembali menjalin kerjasama dengan PN bagi membentuk kerajaan Perak.
Ahmad Zahid turut menyifatkan hasrat yang dikemukakan oleh pemimpin PN itu sebagai mimpi di siang hari.
Menurutnya, cadangan tersebut datang dalam keadaan terdesak, khususnya selepas PN didakwa kehilangan sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) yang hanya tinggal beberapa jam.
Mengulas lanjut, Muhyiddin membidas kepimpinan UMNO yang dilihat membisu dalam pelbagai isu, termasuk isu sensitiviti melibatkan bendera dan agama.
“Bila ada kepincangan dalam negara berkaitan soal agama bangsa dan lain-lain, UMNO dilihat bukan lantang menyuarakan malahan isu bendera jadi sudah tinggal nama sahaja.
“Realitinya, rakyat sudah sedar. Situasi semasa ini harus dijadikan pengajaran kepada rakyat agar mereka menggunakan kuasa undi pada pilihan raya akan datang untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan sedia ada,” ujarnya. -MalaysiaGazette