KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya berhenti hidup dalam mimpi dan akur dengan keputusan rakyat yang menolak mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika kempen agak angkuh dan memperlekehkan kecerdikan rakyat.
Hamzah mendakwa kononnya pengundi lebih cenderung menyokong PN bersama UMNO berbanding gabungan UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
“Rakyat Ayer Kuning sudah buat keputusan yang jelas mereka memilih kestabilan, bukan politik sempit dan perkauman murahan, henti cipta naratif palsu mengelirukan rakyat,” katanya hari ini.
Saifuddin mengulas kenyataan Hamzah baru-baru ini yang mendakwa pengundi di Ayer Kuning lebih cenderung menyokong gabungan PN bersama UMNO berbanding kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
Pada persaingan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil berkenaan, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 4,751 undi apabila memperoleh 10,354 undi selepas 63 daripada keseluruhan 67 peti undi siap dikira.
Calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek meraih 5,603 undi manakala Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia) mendapat 1,004 undi.
Kata Saifuddin lagi, kegagalan PN merampas kerusi tersebut membuktikan rakyat semakin muak dengan retorik basi dan janji kosong yang menjadi modal utama politik PN.
Beliau menegaskan, Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH dan UMNO bukan sekadar satu pakatan politik, tetapi satu bentuk kerjasama ikhlas demi kestabilan negeri dan negara.
“Berbeza dengan PN yang masih terkandas dalam politik kebencian, kami menawarkan dasar pembangunan inklusif yang terbukti menguntungkan rakyat. Itu yang rakyat pilih di Ayer Kuning,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan PN supaya menghormati keputusan rakyat dan berhenti menghina kecerdasan pengundi.
“Kalau benar hormat rakyat, akur sajalah dengan suara mereka. Jangan terus hidup dalam dunia fantasi. Pengundi hari ini lebih cerdik daripada apa yang PN fikirkan,” tempelaknya. -MalaysiaGazette