KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC secara terbuka membuat tawaran kepada bintang Portugal yang juga rakan Cristiano Ronaldo, Ricardo Quaresma untuk beraksi dengan Sang Kenari bagi musim 2025/2026.
Pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd. Daud Bakar berkata, bagaimanapun kelab meletakkan syarat tertentu kepada pemain itu untuk beraksi dengan mereka antaranya gajinya akan ditanggung oleh pihak penaja daripada Portugal.
“Pihak KDA FC telah membuat beberapa siri perbincangan bersama pihak Ricardo Quaresma untuk menyertai pasukan Liga Super KDA FC bagi musim 2025/2026 dengan syarat semua perbelanjaan Ricardo Quaresma ditanggung oleh pihak penaja tertentu.
“Dalam konteks ini, pihak KDA FC juga telah membuat beberapa siri perbincangan awal dengan pihak penaja dalam misi membawa Ricardo Quaresma bersama dengan KDA FC di musim baru.
“Ini adalah satu penghormatan kepada pihak KDA FC yang mendapat perhatian dan pertimbangan wajar daripada pihak penaja luar negara untuk menjadi penaja rasmi kepada Ricardo Quaresma sekiranya Ricardo Quaresma bersetuju menyarung jersi KDA FC di musim 2025/2026.
“Secara jujur, benih kepada perbincangan ini samada melibatkan Ricardo Quaresma atau pihak penaja bagi pihak Ricardo Quaresma telah pun bermula semenjak bulan Mac 2025,” tulisnya di Facebook rasmi kelab itu.
Mohd. Daud menambah, usaha ini merupakan petanda yang kelab masih bernyawa dan belum lagi ‘berkubur’ seperti ramai menyangka.
Oleh itu kata beliau, pihak kelab bertekad menggunakan segala ruang yang ada untuk menghidupkan kelab yang dilihat seperti hendak karam.
“Pihak kami akan meneruskan inisiatif yang baik ini untuk bersiap sedia menyediakan sebuah pasukan yang lebih mampan di musim hadapan dan dalam masa yang sama membuat apa yang terbaik – dengan segala kekurangan masa dan dana – untuk melengkapkan syarat perlesenan bagi musim baru nanti.
“Mungkin ramai yang sudah membuat tanggapan bahawa KDA FC sudah “terkubur”. Selagi ada ruang dan peluang, KDA FC akan tetap berusaha keras dan kuat untuk menyelematkan kelab KDA FC,” katanya. – MalaysiaGazette