KUALA LUMPUR – Seorang pelajar daripada keluarga B40, Dhivashini Paghan, membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan apabila berjaya memperoleh 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Menurut sebuah pertubuhan pendidikan bukan kerajaan (NGO) yang popular dalam masyarakat India, Sri Murugan Centre (SMC) memaklumkan, Dhivashini merupakan pelajar Tahun 6 di pusat berkenaan di Brickfields pada tahun 2019.
Difahamkan walaupun berasal daripada latar belakang yang sangat daif, beliau tetap menunjukkan semangat kental dalam mengejar kecemerlangan akademik.
“Walaupun dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, Dhivashini tidak pernah membiarkan situasi hidupnya menghalang cita-cita.
“Dengan ketekunan yang tidak berbelah bahagi, beliau terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan meraih 11A dalam SPM,” kata SMC dalam Facebook rasmi mereka.

Bagi membantu perjalanan pendidikannya, SMC mengambil inisiatif untuk melawat rumah Dhivashini, menyediakan bahan akademik dan mencipta suasana pembelajaran yang lebih kondusif.
“Lima tahun berlalu, Dhivashini hari ini telah mencapai satu kejayaan yang luar biasa dalam SPM dengan keputusan 11A.
“Kami di SMC sangat berbangga meraikan kejayaan Dhivashini yang menjadi bukti bahawa dengan sokongan yang betul, pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik mampu mencipta masa depan yang cemerlang.
“Kejayaan ini juga selari dengan usaha berterusan SMC di bawah inisiatif ‘ZeroB40’, yang bertujuan memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Untuk makluman, SMC telah diasaskan pada tahun 1982 oleh Tan Sri Dr M Thambirajah, lebih 40 tahun, pertubuhan ini komited dalam memperkasakan masyarakat India di Malaysia melalui pendidikan sebagai satu-satunya jalan mobiliti sosial dan ekonomi.
Difahamkan juga, sepanjang penubuhannya, SMC telah melahirkan lebih 28,000 graduan, yang bukan sahaja berkhidmat di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. -MalaysiaGazette