KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala ketika memandu di Jalan Stephen Yong, Kuching, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kejadian dimaklumkan kepada pihak polis sekitar jam 5.30 pagi apabila dua lelaki hadir ke Balai Polis Batu Kawa untuk memberitahu mengenai insiden tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di dalam kenderaan, dipercayai selepas terkena tembakan.
“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan bersama pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, ASP Sylvarius di talian 013-863 7241 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette