Menara Kuala Lumpur kelihatan bercahaya pada waktu malam hari pertama pembukaan semula menara itu kepada orang ramai selepas ditutup sejak 17 April lalu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) memberi jaminan akan memastikan pengurusan dan penyelenggaraan asas Menara Kuala Lumpur (KL) dijaga rapi sepanjang tempoh konsesi 20 tahun yang diberikan oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata, tumpuan utama pihaknya adalah dalam operasi dan penyelenggaraan fasiliti, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dengan Kementerian Komunikasi selaku pemilik menara tersebut.

“Kita jaga yang asas dahulu dalam cita-cita kita yang tinggi menggunung ini.

“Kalau asas penyelenggaraan dijaga dengan baik, insya-Allah rancangan lain yang lebih besar akan dapat dijalankan dengan lancar,” katanya dalam sidang media pada pembukaan semula menara itu, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, pihaknya berazam untuk menyerahkan semula Menara Kuala Lumpur kepada kerajaan dalam keadaan lebih baik berbanding hari ini apabila tempoh konsesi tamat kelak.

“Saya selalu beritahu Encik Khairil Faizal, selepas 20 tahun nanti, kita mahu serahkan balik bangunan ini dalam keadaan lebih baik daripada hari ini, walaupun usia bangunan makin bertambah,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan fasiliti yang dibangunkan seiring dengan projek pembangunan Putrajaya dahulu, membuktikan usia sesebuah bangunan bukan halangan sekiranya penyelenggaraan dijalankan dengan konsisten.

Dalam pada itu, Keng Cheng berkata, semua 205 orang pekerja Menara Kuala Lumpur di bawah pengurusan terdahulu telah ditawarkan peluang untuk meneruskan perkhidmatan di bawah LSHSM.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 193 orang telah menerima tawaran tersebut, manakala selebihnya tidak dapat meneruskan perkhidmatan kerana faktor seperti kematian, persaraan dan penolakan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Beliau menjelaskan, segala aset atau barangan yang berkaitan dengan pengurusan lama telah diserahkan kepada Kementerian untuk diuruskan sepenuhnya.

“Pengurusan bangunan kini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian. Kami pula bertanggungjawab untuk memastikan Menara KL diselenggara dengan baik sepanjang konsesi,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai kontroversi pengambilalihan Menara KL sebelum ini, beliau mengakui perhatian umum terhadap syarikat meningkat, namun ia tidak menjejaskan operasi dalaman LSHSM.

“Dari segi operasi kami, tidak banyak terkesan. Cuma mungkin ada sedikit kelewatan dalam proses serahan rasmi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui keprihatinan utama pihaknya adalah kebajikan staf yang sebelum ini bertugas di bawah pengurusan lama.

“Sebagai manusia, ketakutan saya adalah untuk memastikan semua staf ini mendapat pekerjaan. Tapi saya tetap berpesan kepada mereka, jangan risau, pekerjaan akan tersedia,” katanya.

Dalam hal ini, Keng Cheng menegaskan,  LSHSM berpegang kepada prinsip tadbir urus korporat tertinggi dan mematuhi semua piawaian yang ditetapkan.

“Kami masuk tender secara sah, menandatangani perjanjian dan mengikuti semua data serta prosedur yang ditetapkan.

“Dari sudut korporat, kami yakin segala urusan kami adalah teratur dan telus,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here