Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Graduasi Qurra MITS di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 APRIL 2025

SHAH ALAM – Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) melahirkan kira-kira 2,400 graduan huffaz yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sejak institusi pendidikan agama Islam itu diperkenalkan sejak 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada tahun ini sahaja, seramai 256 graduan huffaz berjaya menamatkan pengajian di MITS yang merangkumi dua aliran termasuk sains tulen dan sastera.

“Para graduan ini telah mengambil Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Kurikulum Bersepadu Dini (KBD), Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Kurikulum Syahadah Al Ulya Ulul Albab (SUUA).

“Pada tahun ini, seramai 256 orang murid telah diraikan kerana telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk.

“Majlis Graduasi Quraa’ ini telah dilaksanakan bermula dari 2012 sehingga hari ini dan secara keseluruhan mencecah hampir 2,400 graduan huffaz,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Qurra MITS di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan replika cek Anugerah Khas Qurra’ 2025 pada Majlis Graduasi Qurra MITS di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 APRIL 2025

Turut hadir, Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Pada 2021, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Biasiswa Huffaz Profesional Negeri Selangor.

Program ini dilaksanakan bertujuan untuk menaja murid lepasan MITS dengan menawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat asasi sehingga ijazah sarjana muda di universiti tempatan.

Untuk tujuan itu, pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan lima tempat kepada murid-murid yang berjaya.

Dalam pada itu, Amirudin juga berkata, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat melaksanakan Program STEM-Q di sekolah-sekolah agama kelolaan JAIS pada tahun ini.

“Program ini untuk menerapkan nilai berasaskan al-Quran dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam sekolah-sekolah agama di bawah Jais.

“Program ini akan melibatkan sejumlah guru yang diberikan latihan serta melaksanakan penilaian modul bersesuaian dalam memastikan agenda pemerkasaan ilmu berteraskan al-Quran mencapai objektif ditetapkan,” katanya.

Antara 256 graduan huffaz yang menerima sijil tamat pengajian di Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) pada Majlis Graduasi Qurra MITS di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 APRIL 2025

Selain itu, kata Amirudin, tujuan utama penerapan pendidikan dalam bidang STEM berasaskan al-Quran ini untuk menggalakkan murid-murid mempunyai pengetahuan ensiklopedik.

“Ia bertujuan murid-murid mempunyai pengetahuan luas dan lengkap dalam menggali khazanah ilmu al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW sejak 1400 tahun lalu untuk dimanfaatkan kepada ummah sejagat.

“Pendidikan bersumberkan al-Quran di samping adanya integrasi antara disiplin dan komponen STEM dilihat mampu menyokong pembinaan masyarakat maju yang berdaya saing dengan berteraskan akidah.

“Saya berharap kita akan dapat melahirkan cendekiawan dan intelektual dalam kalangan orang Islam, bukan sahaja memahami disiplin ilmu akademik, bahkan menjadi rujukan kepada orang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here