Sebuah MPV dan motosikal terbalik dalam kemalangan semasa mengelak babi melintas di Jalan Sungai Tiram, Bandar Tiram, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pelajar sekolah maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mengelak babi hutan melintas tiba-tiba di Jalan Sungai Tiram, Bandar Tiram di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 3.30 pagi melibatkan MPV Toyota Avanza dengan motosikal jenis Demak EX 90 dan seekor babi.

“Kemalangan berlaku semasa Toyota Avanza dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun memandu dari arah Jalan Sungai Tiram menghala ke Bandar Tiram.

“Sampai di tempat kejadian tiba-tiba muncul seekor khinzir hutan liar melintas menyebabkan pemandu tersebut terkejut dan mengelak ke kanan jalan hingga masuk lorong bertentangan dan terlanggar sebuah motosikal dinaiki dua mangsa.

“Motosikal tersebut ditunggang dan dibonceng dua remaja masing-masingĀ  berusia 15 tahun dan merupakan pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal mengalami cedera parah dan dibawa ambulan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Pembonceng pula katanya, mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Avanza tidak cedera.

Menurutnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa ujarnya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada memandu kenderaan terutama waktu malam.

Tambahnya, sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk membantu siasatan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor B Sarveshwaaran 012-2612949.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here