JOHOR BAHRU – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru yang baharu, Mohamad Taufiq Ismail mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung kenyataan bekas Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Taufiq berkata, ini berkenaan tindakan Akmal mengeluarkan keputusan tidak rasmi jumlah undi bagi jawatan tersebut dalam media sosial pada 20 April lalu, dengan menyatakan jumlah 949 undi tanpa pengesahan rasmi daripada JPP.
“Kenyataan tersebut mendahului pengumuman rasmi JPP dan seolah-olah cuba menekan pihak jawatankuasa untuk menerima angka itu sebagai muktamad,” katanya dalam surat bantahan bertarikh 25 April 2025.
Tambahnya, perkara itu bertentangan dengan prinsip ketelusan yang diamalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk keperluan pengesahan Borang 14 oleh semua ejen calon.
Taufiq turut membantah tindakan Akmal membuat Akuan Bersumpah (SD) pada 23 April lalu yang didakwa menyokong jumlah undi tersebut.
Beliau mendakwa, SD itu memberi gambaran undi telah direkod dan disimpan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kerahsiaan undian.
“Ini bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan ahli terhadap proses pemilihan, malah membuka ruang kepada implikasi undang-undang serta serangan politik daripada pihak lawan,” katanya lagi.
Taufiq turut melampirkan gambar didakwa menunjukkan senarai ‘cai’ yang digunakan pihak Akmal untuk mempengaruhi pengundi ketika proses undian.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa dan Majlis Pimpinan Pusat menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas bagi menjaga integriti serta imej parti.- MalaysiaGazette