JOHOR BAHRU – Selepas beberapa tahun terbiar, Penjara Ayer Molek yang berusia 143 tahun berubah wajah menjadi destinasi pelancongan baharu di bandar raya ini dan dinamakan sebagai Kota Jail.
Bangunan tersebut menyimpan pelbagai cerita penghuni di sebaliknya, sudah dibuka secara rasmi pada 14 Mac lalu sebagai tarikan pelancong yang baharu dengan mengekalkan stuktur asalnya.
Pengarah Operasi Kota Jail, Zul Abas berkata, tapak sejarah itu diangkat semula sebagai hab komuniti bukan sekadar untuk dilihat tetapi untuk dirasai pengalaman secara positif dan menginsafkan.
“Kita mahu masyarakat lihat, pegang dan alami sendiri bagaimana penjara ini berfungsi dahulu. Di sebalik tembok batu dan jeriji besi yang menyimpan ribuan kisah suka dan duka insan terhukum, kini berdiri sebuah simbol transformasi yang sarat dengan nilai seni, budaya dan keinsafan.
“Tempat ini pernah menyimpan rahsia lebih 120 tahun dan kini kita buka kepada umum dengan menampilkan pelbagai tarikan, ruang interaktif dan inklusif untuk pelbagai lapisan masyarakat.
“Dengan pagar dan pintu yang tebal diperbuat daripada besi, stuktur bangunan asal pada tahun 1883 yang dahulu dibina oleh Kontraktor, Wong Ah Fook dari pasir Pantai Lido ini memberi perasaan sendiri terhadap setiap pengunjung yang mengunjungi KotaJail.
“Disebabkan jumlah penghuni yang ramai, Penjara Ayer Molek, antara penjara tertua di Malaysia, selepas Penjara Pulau Pinang dan Penjara Taiping, Perak ditutup pada Ogos 2005, namun berfungsi sebagai lokap polis sehingga tahun 2018 sebelum ditutup sepenuhnya.
“Antara fasiliti menarik yang tersedia termasuk Galeri Penjara Ayer Molek yang menempatkan pameran sejarah penjara dan kisah banduan. Dapat dilihat di sini lukisan, tulisan, luahan dan sesalan banduan yang mendiami tembok batu ini,” katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama media di Kota Jail semalam.
Katanya, pengunjung boleh masuk ke dalam sel-sel penjara yang telah dibersihkan tetapi masih mengekalkan tulisan tangan banduan di ruangan dinding di dalamnya.
Terdapat juga ujarnya, ruang pameran pakaian banduan mengikut hukuman dan video hukuman sebat yang dijalani pesalah.
“Kota Jail tidak mengenakan sebarang bayaran. Bayaran masuk hanya dikenakan di Galeri Penjara Ayer Molek dengan RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak) warga tempatan manakala RM15 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) bagi bukan warganegara,” katanya.
Bercerita mengenai transformasi yang dilakukan terhadap bangunan tersebut,
Zul berkata, proses pemulihan dilakukan secara berperingkat sejak Oktober tahun lalu membabitkan lebih sepuluh stuktur utama, termasuk sel tahanan, ruang kawalan, dewan aktiviti dan kawasan luar penjara.
Namun begitu katanya, semua pemuliharaan dilakukan tanpa meroboh atau mengubah bentuk asal, demi mengekalkan nilai sejarah dan identiti binaan.
Sebahagian besar blok ujar beliau, ditukar fungsinya daripada ruang pejabat ke kedai, Terdapat tiga zon utama A, B dan C yang kini dibuka kepada orang ramai, masing-masing dengan fungsi unik dan tarikan tersendiri.
“Kami menjangkakan keseluruhan zon akan siap pada Jun depan. Ini adalah projek komuniti, dan kami percaya warisan bukan sahaja untuk dikenang, tetapi dihidupkan semula dengan cara yang berani dan bermakna.
“Galeri Seni Kebangsaan Ayer Molek menempatkan ruang pameran karya seni tempatan. Terdapat juga ruang acara dan pameran budaya, Kafe serta ruang santai yang menampilkan produk lokal dan sajian kontemporari.
“Selain itu Kota Jail juga dilengkapi Laman Komuniti dan Sukan termasuk gelanggang pickleball, taman skate dan taman permainan kanak-kanak serta Perpustakaan Komuniti,” katanya.
Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim pula berkata, pembukaan rasmi Kota Jail itu memberikan lembaran baharu bagi pelancongan berasaskan warisan di negeri ini dan akan menjadi tarikan pelancongan terbaharu negeri ini sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Beliau menyifatkan lokasi ini sebagai satu bentuk pendidikan tidak formal yang sangat berguna, terutamanya kepada generasi muda.
“Bawa anak-anak ke sini bukan sekadar untuk melihat bangunan lama. Ia adalah ruang untuk mereka belajar tentang hidup, nilai kebebasan dan pengorbanan.
“Tarikan utama pelancong bukan sahaja kerana nilai sejarahnya, tetapi juga kerana pendekatan yang ditampilkan santai, informatif dan berjiwa tempatan.
“Kita yakin, kemunculan produk baharu seperti Kotajail, Muzium Tokoh dan Sungai Melayu akan mengubah persepsi bahawa Johor Bahru merupakan lokasi yang membosankan.
“Kebanyakan tarikan baharu dijangka siap secara berperingkat bermula penghujung 2025 dan awal 2026, menjadikan Johor destinasi yang lebih segar serta berdaya saing di mata pelancong dalam dan luar negara,” jelasnya.- MalaysiaGazette