Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP WAN Azlan Wan Mamat bercakap pada sidang media berhubung situasi terkini kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Polis tidak menerima sebarang laporan yang mendakwa sekumpulan individu menyamar sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang datang melakukan pemeriksaan kad pengenalan di kawasan Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sehingga kini tiada aduan daripada masyarakat diterima berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun, perkara ini akan dipantau oleh pihak polis dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan secara ringkas hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran diaplikasi WhatsApp yang memberi amaran kepada penduduk berhubung kehadiran kumpulan individu tidak dikenali dengan mendakwa sebagai pegawai KDN.

Dalam mesej itu, kumpulan berkenaan dikatakan membawa dokumen rasmi termasuk kepala surat kementerian mendakwa kononnya menjalankan pengesahan kad pengenalan sebagai persediaan untuk satu bancian.

Mereka didakwa akan meminta mengambil gambar serta cap ibu jari pemilik rumah menggunakan komputer riba dan mesin biometrik yang dibawa bersama.

Mesej tersebut turut menegaskan tiada sebarang inisiatif sedemikian dilakukan pihak kerajaan, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak memberikan sebarang maklumat peribadi kepada individu mencurigakan.

Mesej amaran itu juga menyebut kononnya kumpulan terbabit telah dilihat di kawasan Seksyen 7, Seksyen 9 dan Putra Heights, Subang Jaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here