KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membuat persiapan bagi aksi final Unifi Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pegawai dan anggota yang bertugas akan memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik kepada pengunjung yang hadir menyaksikan perlawanan itu.
“JSPTKL telah bersiap sedia dan membuat perancangan untuk menugaskan pegawai serta anggota di setiap lokasi yang akan menjadi berisiko menimbulkan kepada kesesakkan jalan raya.
“Insyallah hebahan media telah diwar-warkan mengenai penutupan jalan oleh Polis Kuala Lumpur bagi memastikan kelancaran trafik, diharap pengguna dapat cakna serta merancang perjalanan dan patuh kepada arahan diberikan,” katanya kepada media ketika Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 oleh JSPTKL, di sini malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa bersama Ketua JSPTKL, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.
Untuk rekod, Juara Liga Super dan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT), berazam menutup kempen musim ini dengan penuh bergaya apabila turun menentang Sri Pahang FC dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di pentas final Piala Malaysia ialah pada musim 2014, yang menyaksikan skuad Tok Gajah muncul juara menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusri berkata, penganjuran majlis hari raya itu dianjurkan adalah bagi menjalinkan kerjasama erat dan ukhwah di semua peringkat dalam JSPTKL.
Pada masa sama, terdapat pelbagai gerai dan juadah Hari Raya ditampilkan oleh pegawai serta anggota JSPTKL sepanjang majlis itu antaranya kambing golek, laksa, cendol dan sebagainya. – MalaysiaGazette