KLUANG – Polis menahan seorang yang menceroboh dan mencuri dalam bangunan makmal komputer sekolah di Jalan Parit Haji Hashim, Simpang Renggam di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian menceroboh dan mencuri dibangunan makmal tersebut pada pukul 8.50 pagi Selasa.
“Susulan itu sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Balai Polis Simpang Renggam menangkap seorang lelaki pada pukul 5 petang semalam.
“Suspek tempatan berusia 33 tahun itu ditahan dalam Op Pintu di Taman Jaya 2, Simpang Renggam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan lima rekod dadah.
Saringan ujian air kencing pula katanya, mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau memberitahu, dalam serbuan tersebut pihaknya merampas lima unit kompresor penghawa dingin dan tiga buah guni putih mengandungi kabel warna hitam tertera tulisan Telekom Malaysia Berhad.
Menurutnya, ini termasuk satu unit tukul besi hijau, satu unit tukul besi, satu unit pemotong besi, satu unit gunting dan sebilah pisau laras warna hijau.
Bahrin menambah, kes disiasat bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 28 April ini. Soal siasat masih dijalankan untuk mengesan penglibatan suspek dalam kes lain,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat ujarnya, boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang 07-7784222, direct line 07-7784256, hotline 07-7766822 atau Tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette