KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengekalkan prospek berhati-hati minggu depan, bergerak dalam jajaran kecil antara 1,513 dan 1,515 berikutan pelabur menunggu kejelasan mengenai respons strategik Malaysia terhadap pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini daripada sidang khas Dewan Rakyat pada 5 Mei.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, menambah kepada sentimen berhati-hati, minggu depan merupakan minggu dagangan yang singkat, dengan Bursa Malaysia ditutup pada Khamis sempena sambutan Hari Pekerja — berpotensi menjejaskan kecairan pasaran dan mengehadkan momentum kenaikan.
“Walaupun mencatat kenaikan baru-baru ini, FBM KLCI bergelut untuk melepasi paras halangan psikologi pada 1,515 — paras yang sebelum ini dilihat sebagai penting.
“Keraguan ini mewujudkan ketidaktentuan mengenai kemampanan aliran meningkat semasa menjelang minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata selepas tiga hari berturut-turut mencatat kenaikan baru-baru ini, aktiviti pengambilan untung dijangka meningkat terutamanya dalam kalangan pelabur runcit yang ingin menyimpan keuntungan jangka pendek berikutan ketidaktentuan dasar yang berterusan.
“Walaupun tiada jualan oleh pelabur asing yang merupakan suatu yang baik, data yang mengesahkan aliran masuk dana asing yang berterusan — akan diketahui daripada data pelabur asing pada Jumaat — akan menjadi petunjuk positif dan akan menyokong momentum kenaikan hingga awal Mei.
“Kaunter berorientasikan eksport kekal berada dalam kedudukan yang baik untuk mengatasi prestasi pasaran, jika tiada tindakan tambahan dalam dasar perdagangan AS,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Sedek berkata sentimen pasaran kekal tidak stabil dan amat sensitif terhadap perkembangan geopolitik.
“Pelabur perlu terus memantau tajuk utama dari luar negara berikutan sebarang perubahan dasar yang mendadak boleh menjejaskan pemulihan yang baru bermula,” katanya.
Mengenai sentimen pasaran yang positif berikutan pertemuan antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan pegawai AS di Washington serta ketegangan perdagangan AS-China yang mereda, beliau berkata perkembangan ini tepat pada masanya.
“Saham berorientasikan eksport (komponen berkaitan indeks) mula meningkat selepas tengah hari, menyumbang kepada pergerakan menaik FBM KLCI, yang meningkat pada 3.30 petang pada Jumaat dalam dagangan tidak menentu.
“Selain itu, pelabur institusi asing pada amnya meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran Malaysia pada sesi petang sejajar dengan tahap kecairan yang tinggi yang biasanya dilihat pada bahagian akhir hari dagangan.
“Kami berharap hari ini (Jumaat) akan menyaksikan belian asing bersih,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng percaya pelabur bersedia untuk membeli selepas berada pada sekitar 1,518, menambah pegangan mereka atau menggunakan kaedah leveraj untuk memaksimumkan keuntungan berikutan indeks petunjuk pasaran menunjukkan tanda-tanda pulih selepas melepasi paras purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari.
“Jurang antara EMA 20 hari dan 50 hari adalah kecil, memberi petunjuk potensi penumpuan yang boleh berkembang menjadi persilangan menaik jika momentum berterusan.
“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,490 hingga 1,520 minggu depan,” katanya.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama meningkat 9.80 mata kepada 1,509.20 daripada 1,499.40 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas naik 98.34 mata kepada 11,219.84, Indeks FBMT 100 meningkat 85.19 mata kepada 10,989.92, Indeks FBM Emas Shariah menambah 174.13 mata kepada 11,084.26, Indeks FBM 70 melonjak 177.47 mata kepada 15,791.10 dan Indeks FBM ACE naik 48.19 mata kepada 4,623.57.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 3.65 mata kepada 148.73, Indeks Tenaga naik 8.81 mata kepada 674.68, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 42.33 mata kepada 17,991.19, Indeks Perladangan berkurangan 1.46 mata kepada 7,224.92 dan Indeks Penjagaan Kesihatan susut 0.70 mata kepada 1,869.15.
Jumlah dagangan naik kepada 14.14 bilion unit bernilai RM9.03 bilion daripada 13.43 bilion unit bernilai RM8.48 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 6.62 bilion unit bernilai RM7.90 bilion daripada 6.30 bilion unit bernilai RM7.33 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran naik kepada 5.77 bilion unit bernilai RM571.23 juta daripada 5.53 bilion unit bernilai RM638.12 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.73 bilion unit bernilai RM547.26 juta daripada 1.59 bilion unit bernilai RM504.28 juta sebelum ini. – BERNAMA