Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC secara rasminya mengumumkan penarikan diri dari saingan Liga Super musim depan kerana berdepan isu kewangan.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi berkata, pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad The Bos Gaurus (TBG) termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.

“Berat hati untuk kami menyatakan perkara ini, namun masanya sudah tiba. Kami secara rasmi menarik diri daripada Liga Super musim depan dan menamatkan perjalanan Perak FC.

“Kami bermula dengan impian besar untuk membina sesuatu yang mampan dan boleh dibanggakan rakyat Perak. Kami percaya bahawa dengan sokongan anda, kami dapat mewujudkan kelab yang bukan sahaja kompetitif, tetapi berteraskan semangat komuniti dan kecintaan terhadap bola sepak.

“Kami mengambil alih kelab ini dengan beban hampir RM8 juta hutang gaji. Kami sudah menyelesaikan hutang itu dan kami memberikan segala-galanya termasuk masa, keyakinan dan hampir RM40 juta dalam tempoh tiga tahun.

“Namun, realitinya sokongan yang kami perlukan tidak berkembang seperti yang diharapkan. Sokongan daripada sektor awam dan swasta di Perak tidak hadir dan pertumbuhan yang dijangkakan dalam jumlah langganan TBG juga jauh dari sasaran. Dana dalaman kini sudah habis dan kami tidak mampu untuk teruskan lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi.

Semalam, media melaporkan Perak FC akan dibubarkan dan tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan dengan spekulasi itu hangat bermain di media sosial.

Selain itu, Azim menjelaskan pasukan akan terus beroperasi untuk menjual baki barangan kelab demi mengumpul dana bagi tujuan menyelesaikan tunggakan gaji.

Beliau berkata, setiap sen yang dikumpulkan akan digunakan sepenuhnya untuk melunaskan tanggungjawab yang ada seperti tiga tahun lalu yang mana semua hasil pendapatan digunakan demi kebajikan dan operasi kelab.

“Apa sahaja dana yang masih ada akan digunakan untuk menyelesaikan hutang. Ia tidak mencukupi, tetapi itulah sahaja yang tinggal. Ini bukan pengakhiran yang kami impikan, tetapi kami sudah lakukan segala yang termampu.

“Terima kasih kerana sentiasa bersama kami, penyokong sejati dalam suka dan duka. Kami akan sentiasa mengingati sorakan anda, rasa bangga dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here