Nur Jazlan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dalam Program Outreach Meriah Raya Bersama Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Johor tidak perlu terburu-buru untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) walaupun penerimaan rakyat terhadap kerajaan negeri baik ketika ini.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, masih banyak perkara yang boleh dibuat untuk rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Terpulang kepada rakyat untuk menilai prestasi kerajaan negeri. Bagi saya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah jalankan kerja dengan baik.

“(Jadi) bila-bila masa boleh diadakan selepas tempoh tamat (penggal PRN tamat). Perlu kaji sokongan dan penerima rakyat termasuk dasar-dasar dan kerja-kerja (khidmat) dilakukan Menteri Besar, barisan Exco dan wakil-wakil rakyat.

“Ini untuk mendapatkan indikasi bahawa timing itu baik (masa yang tepat untuk mengadakan PRN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Outreach Meriah Raya Bersama Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata, pengundi 18 tahun yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti perlu diberi kesedaran dan pengetahuan yang cukup berkenaan sistem demokrasi di negara ini.

Jelasnya, ini bagi memastikan mereka mendapat panduan dan maklumat yang tepat supaya tidak terkeliru ketika mengundi wakil rakyat yang akan mewakili kawasan mereka nanti.

“Kita anggap anak muda seperti kain putih, terpulang kepada kita untuk corak pemikiran mereka, bukan kita memihak mana-mana pihak tetapi lebih kepada mereka mengetahui fungsi demokrasi yang sebenar,” ujarnya.

Beliau tidak mahu anak muda terbabit terutama yang tidak faham, terpengaruh dengan dakyah politik dan maklumat palsu yang disebarkan melalui media sosial seperti TikTok khususnya menyentuh emosi dan isu agama, kaum, raja (3R).

Nur Jazlan memberitahu, pengundi muda 18 tahun itu mewakili kira-kira satu atau dua peratus pengundi PRU16 dan percaya walaupun tidak menjadi penentu tetapi boleh mempengaruhi undi di kawasan tertentu.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here