MELAKA – Seorang wanita maut manakala suaminya parah dirempuh sebuah pacuan empat roda (4X4) ketika motosikal mangsa sedang berhenti di lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dekat Balai Panjang, Bachang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa Roslinah Sinan, 53, maut ditempat kejadian manakala suaminya, Hisham Omar, 57, parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal dalam perjalanan dari Bachang menuju ke kedai makan di Balai Panjang.
“Sebaik tiba ditempat kejadian, motosikal mangsa jenis Honda Wave 125 yang sedang berhenti di lampu isyarat tiba-tiba dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah belakang.
“Pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton berwarna perak itu kemudian melarikan diri meninggalkan mangsa yang maut dan parah di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah di keluarkan bagi mengetahui punca kematian.
Mengulas lanjut, Christopher semakan terhadap nombor pendaftaran pacuan empat roda berkenaan mendapati ia didaftarkan atas nama pengurus sebuah syarikat.
“Pegawai penyiasat dan pengurus syarikat terbabit selaku pemilik kenderaan cuba mengesan pemandu Mitsubishi Triton berkenaan di rumahnya.
“Bagaimanapun, suspek tidak pulang ke rumahnya dan usaha memburunya sedang giat dilakukan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – MalaysiaGazette