Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meraikan kemenangan bersama calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning BN memenanginya di Command Center BN di Kampung Haji Tahir, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2025.

TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu.

Mohamad Yusri atau mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dengan majoriti 5,006 undi.

Dalam saingan tiga penjuru Ustaz Yusri memperolehi 11,065 undi, sementara dua lagi pencabarnya, Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM) masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi.

Menerusi kemenangan itu, Kerajaan Perpaduan di Perak yang terbentuk hasil kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU15 lepas terus mengekalkan penguasaan 32 kerusi DUN sementara PN 26.

Di samping itu BN berjaya juga merekodkan pertambahan majoriti bagi PRK kali ini berbanding keputusan PRU15 sebanyak 2,213 undi.

Keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah, dekat sini, malam ini.

Antara yang kelihatan hadir ke pusat berkenaan termasuk Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 31,281 pengundi berdaftar direkodkan bagi DUN Ayer Kuning dan ia membabitkan 19 pusat mengundi dengan 63 saluran.

Daripada jumlah itu SPR memaklumkan seramai 58.07 peratus pengundi telah keluar membuang undi berbanding 70 peratus yang disasarkan pada siang tadi.

Kesemua pusat mengundi dibuka seawal jam 8 pagi dan ditutup pada jam 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada jam 4 petang.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung dalam satu perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.

Pada PRU15, Allahyarham Ishsam, yang juga ketika itu sebagai Ketua UMNO Bahagian Tapah, memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dalam saingan lima penjuru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here