KUALA LUMPUR – Seorang mekanik maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain pada 9.30 malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata ketika kejadian di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, lelaki berusia 23 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah.
Ujarnya, siasatan mendapati Proton Satria dipandu mangsa dari arah Gombak menuju Bukit Beruntung, bertembung dengan Proton Iriz dipandu lelaki berusia 29 tahun yang masuk ke laluan bertentangan.
“Akibat kemalangan itu,mangsa alam Proton Satria tersepit dan telah dikeluarkan oleh bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat” katanya menerusi kenyataan.
Manakala pemandi sebuah lagi kenderaan dirawat di Zon Merah, Hospital Selayang kerana mengalami kecederaan dalaman.
Mohd Asri berkara, kes tersebut disiasat di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan,” tambahnya.-MalaysiaGazette