PUTRAJAYA – Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, esok bakal dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia menjadi lebih istimewa apabila penyanyi terkenal itu bakal mendedangkan beberapa lagu popularnya kepada tetamu.
“Pagi ini, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat lama saya, ibu Hetty Koes Endang, bersama suaminya. Dengan penuh rasa hormat dan mesra, mereka menyatakan keinginan untuk hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 KPKM.
“Lebih menggembirakan, ibu Hetty juga sudi untuk menyumbangkan beberapa buah lagu di majlis tersebut tanpa sebarang bayaran, satu penghargaan yang amat kami hargai,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Menurut Mohamad, beliau mengenali penyanyi itu sejak sekian lama dan sering mengunjungi mereka apabila berkunjung ke negara jiran itu.
“Bagi yang mungkin belum mengetahui, hubungan persahabatan antara keluarga kami telah terjalin sekian lama. Setiap kali saya berkunjung ke Jakarta, rumah beliau akan menjadi tempat persinggahan saya.
“Begitu juga apabila beliau berada di Kuala Lumpur, rumah kami pula menjadi tempat beliau bertamu. Begitulah eratnya ukhuwah yang terjalin antara kami sekeluarga.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibu Hetty dan suami atas keikhlasan dan kesudian mereka untuk bersama-sama memeriahkan majlis nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette