KUANTAN – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir pada PRK DUN Ayer Kuning, Perak semalam merupakan hasil kerjasama padu jentera BN dan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau menghargai dan berterima kasih atas semua kerja keras yang dilakukan oleh jentera sehingga membuahkan hasil dengan majoriti 5,006 undi.
”Terima kasih saya ucapkan kepada semua jentera Pahang yang bertungkus-lumus dan berkampung di Ayer Kuning sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini berlangsung.
”Tidak dilupakan terima kasih juga kepada rakan-rakan daripada PH yang turut turun berkempen bagi turut membantu calon BN sehingga mencapai kemenangan yang bermakna ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kepada jentera parti dari Pahang yang membantu dan membawa pertambahan majoriti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menteri Besar Pahang itu sekali gus berharap prestasi cemerlang jentera dari Pahang pada kemenangan itu terus konsisten akan diteruskan pada akan datang.
Semalam, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya menumpaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam saingan tiga penjuru itu, calon BN,
”Alhamdulillah, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Dr. Mohamad Yusri Bakir kerana telah diberi kepercayaan oleh pengundi Ayer Kuning sebagai wakil rakyat mereka bersama BN
”Lebih utama, terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang turun dan membuat pilihan yang tepat dengan memilih Dr. Mohamad Yusri bagi membolehkan BN meneruskan kesinambungan memberi perkhidmatan kepada masyarakat di Ayer Kuning.
”Semoga amanah yang diberikan ini dapat dilaksanakan dengan baik oleh Dr. Mohamad Yusri demi agama, bangsa dan negara. Insya-Allah,” katanya.
Mohamad Yusri Bakir menang PRK DUN Ayer Kuning, Perak dengan majoriti 5,006 undi, keputusan rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu mendapat 11,065 undi, mengatasi Abdul Muhaimin yang memperolehi 6,059 undi, manakala calon PSM, Bawani KS mendapat 1,106 undi. -MalaysiaGazette