Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media pada Majlis Riang Ria Aidilfitri GLC Negeri Perak Tahun 2025 di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 APRIL 2025.

IPOH – Kerajaan negeri tidak mampu untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda Perak FC susulan pasukan itu terpaksa menarik diri daripada menyertai saingan Liga Super musim depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau memahami keputusan syarikat telekomunikasi XOX Bhd untuk membubarkan pasukan tersebut memandangkan kos mengendalikan kelab bola sepak profesional di Malaysia terlalu tinggi untuk ditanggung oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, situasi yang menimpa Perak FC bukan kes terpencil, malah perkara sama turut dihadapi negeri lain seperti Perlis dan Kedah.

“Permainan bola sepak di Malaysia ini terlalu mahal. Ia tidak lagi mampu ditanggung oleh kerajaan negeri. Sebab itu kita bersetuju supaya pihak swasta mengambil alih dan menaja kelab-kelab bola sepak.

“Saya sangat faham keputusan Perak FC untuk dibubarkan. Itu keputusan terbaik untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Riang Ria Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Bersama Menteri Besar Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, walaupun Perak FC dibubarkan namun kerajaan negeri komited membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi melalui Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“PAFA akan memainkan peranan penting mencungkil bakat baru dari sekolah rendah, sekolah menengah, belia dan kelab-kelab bola sepak.

“Kos penganjuran program di bawah PAFA jauh lebih rendah. Sebagai contoh, penganjuran dua kejohanan iaitu Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Liga Perak Sejahtera tahun lalu hanya melibatkan perbelanjaan tidak sampai RM1 juta.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong sukan bola sepak sebagai aktiviti pembangunan masyarakat, bukan sebagai kelab profesional yang kosnya terlalu tinggi,“ jelasnya.

Semalam, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi dilaporkan Perak FC secara rasminya menarik diri dari saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here