Pemain industri berpengalaman dalam bidang kitar semula mempelopori MRA bawah terapi utamanya, Datuk Joe Saravanan.

KUALA LUMPUR – Dalam masa hanya dua tahun sejak ditubuhkan pada 2023, Malaysian Recyclers Association (MRA) muncul sebagai pemacu baharu industri kitar semula negara dan membawa Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

Presiden MRA, Datuk Joe Saravanan yang juga merupakan pemain industri  hampir tiga dekad berkata, MRA diasaskan dengan visi memperkukuh industri kitar semula logam, memacu pertumbuhan ekonomi kitaran dan memperjuangkan kelestarian alam sekitar.

Datuk Joe Saravanan

Katanya, keunikan MRA terletak pada pasukannya yang terdiri daripada pelbagai kaum, mencerminkan kekuatan perpaduan Malaysia dalam membangunkan industri yang mampan dan berdaya saing.

“Organisasi ini komited menghubungkan industri tempatan ke peringkat global, menyediakan advokasi dasar serta latihan, menawarkan kemas kini pasaran serta mencipta peluang perniagaan.

“Visi kami adalah untuk menjadi suara utama dalam membentuk industri kitar semula Malaysia yang berdaya saing, serta memperkasa ekonomi kitaran untuk manfaat generasi masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MRA telah menandatangani pelbagai MoU dengan nama-nama besar gergasi bidang kitar semula di pelbagai negara termasuk AS, Eropah, India dan sebagainya.

Sebagai sebahagian daripada agenda perluasan antarabangsa, MRA telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan badan-badan kitar semula terkemuka dunia termasuk Material Recycling Association of India (MRAI), Recycled Materials Association (ReMA/ISRI) dari Amerika Syarikat, Bureau of Middle East Recycling (BMR) dan Bureau of International Recycling (BIR) dari Eropah.

Kata Joe Saravanan, MRA kini dalam perancangan untuk memeterai MoU dengan European Recycling Industries’ Confederation (EuRIC) bagi mengukuhkan lagi kehadiran Malaysia dalam pasaran Eropah.

Pada peringkat tempatan, MRA turut menjalin hubungan rapat dengan agensi-agensi kerajaan utama seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Malaysia Steel Institute (MSI).

“Kerjasama erat ini memastikan dasar-dasar progresif dapat terus menyokong pertumbuhan industri kitar semula negara.

“Industri ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menjaga alam sekitar melalui pengurangan penggunaan sumber asli, malah menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi hijau negara dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menarik pelaburan lestari,” ujarnya.

Katanya lagi, melalui kitar semula, usaha itu bukan sahaja melindungi bumi tetapi juga membina asas ekonomi mampan untuk masa depan Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here