KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning semalam menunjukkan rakyat semakin bersedia untuk menerima kuasa politik baharu yang menawarkan dasar-dasar progresif, inklusif dan berteraskan keadilan sosial.
Biro Politik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kekal percaya kuasa ketiga akan mempunyai tempat dalam arena politik negara dan akan terus mengukuh dalam siri pilihan raya akan datang melalui calon-calon progresif.
“Perjuangan untuk membawa perubahan sebenar tidak berakhir di Ayer Kuning,” kata kenyataan itu.
MUDA juga mengucapkan tahniah kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas kesungguhan mereka sepanjang kempen serta penghargaan khusus kepada calonnya, Bawani KS yang telah membawa suara rakyat marhaen dengan penuh ikhlas dan dedikasi.
Usaha gigih itu bukti politik berasaskan nilai dan prinsip kini semakin mendapat tempat dalam hati rakyat.
Tambahnya, MUDA akan terus komited bekerjasama dengan semua parti dan individu yang berkongsi cita-cita reformasi, memperkukuh suara rakyat, dan membina Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berintegriti.
Dalam pada itu, MUDA mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) yang menang pada PRK kali ini iaitu Mohamad Yusri.
“MUDA menghormati keputusan majoriti rakyat dan menghargai semangat demokrasi yang ditunjukkan oleh semua pengundi Ayer Kuning.
“Kehadiran mereka di pusat pengundian meskipun dalam suasana politik yang mencabar membuktikan bahawa rakyat Malaysia tetap komited kepada proses demokrasi sebagai asas masa depan negara,” jelasnya.
Sebagai rekod, Mohamad Yusri menang dengan majoriti lebih besar melalui saingan tiga penjuru menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menang dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).-MalaysiaGazette