Gambar hiasan

JAKARTA – Wilayah Riau, Indonesia yang sering terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah dijangka dilanda musim kemarau antara Mei hingga Julai 2025, menurut pegawai agensi berkaitan.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) meramalkan musim kemarau yang kurang teruk berbanding fenomena El Niño pada 2015, 2019 dan 2023.

“Bagaimanapun, potensi berlakunya kebakaran hutan dan tanah tetap ada, mengambil kira pengalaman pada tahun-tahun sebelumnya dengan keadaan musim kemarau yang serupa,” kata Timbalan Ketua Klimatologi BMKG, Ardhasena Sopaheluwakan.

Riau, yang mengalami dua musim kemarau dan dua musim hujan setiap tahun mendapat manfaat daripada sinaran matahari dan taburan hujan yang banyak, dan beliau menekankan perlunya mengoptimumkan keadaan itu untuk kesejahteraan masyarakat serta menyeru kepada peningkatan kesedaran dan kesiapsiagaan.

“Sinergi dan pengetahuan tentang iklim adalah penting supaya semua pihak, termasuk kerajaan tempatan, kekal berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan.

BMKG turut memanfaatkan data iklim dalam sektor pertanian, termasuk padi, jagung dan kelapa sawit, serta membangunkan sistem amaran awal bagi wabak denggi dan menyokong projek penyelenggaraan infrastruktur.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Riau, Edi Afrizal memaklumkan sebanyak 42 titik panas dikesan setakat tahun ini, melibatkan pembakaran seluas 78.56 hektar, dengan semua kebakaran berjaya dipadamkan.

Kerajaan Riau baru-baru ini menganjurkan Jambori Kebakaran Hutan dan Tanah pertama di Indonesia bagi meningkatkan koordinasi antara anggota bomba, agensi, polis, tentera, sukarelawan dan kumpulan komuniti.

“Usaha pencegahan ini diharapkan dapat mengelakkan kesan buruk kebakaran, seperti jerebu yang menjejaskan kesihatan awam dan aktiviti harian,” kata Edi.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here