BUTTERWORTH – Kesemua 23 projek menaik taraf infrastruktur bekalan air di bawah Pelan Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) telah siap sepenuhnya.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua projek itu siap pada jam 1.48 tengah hari tadi.
Jelas beliau, dengan siapnya projek tersebut, sasaran untuk memulihkan bekalan air kepada 100 peratus pengguna menjelang pagi esok diyakini dapat dicapai seperti yang dirancang.
“Ketika ini pasukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang menjalankan kerja-kerja ujian serta melepaskan angin yang terperangkap dalam saluran paip bagi memastikan kelancaran penyaluran air ke kawasan terjejas.
“Pengguna di semua daerah terutamanya di Seberang Perai Selatan (SPS) serta sebahagian kawasan di Timur Laut dan Barat Daya akan mula menerima bekalan air tidak lama lagi,” katanya selepas meninjau kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di Kampung Teluk di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, bagaimanapun, kerja penyambungan akhir dua paip berdiameter 1.35 meter yang merentasi Sungai Perai mengalami sedikit kelewatan berikutan fenomena air pasang.
“Dua paip berkenaan terletak di tepi sungai dan fenomena itu menimbulkan cabaran besar kepada kontraktor untuk menyiapkan penyambungan dalam tempoh dua hari ini.
“Sehubungan itu, kita menyeru pengguna yang sudah menerima bekalan supaya menggunakan air dengan berhemah bagi memastikan pelan pemulihan berjalan lancar, selain pengguna di kawasan masih terjejas diminta agar terus bersabar.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, pemulihan bekalan air susulan SWSI sejak Jumaat telah mencapai 48 peratus setakat jam 11.30 pagi.
Berdasarkan kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Facebook, kira-kira 162,000 pengguna di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) telah menerima semula bekalan sepenuhnya, manakala Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan kadar pemulihan 88 peratus.
Manakala bagi daerah Timur Laut (84 peratus) diikuti Seberang Perai Selatan (38 peratus) dan Daerah Barat Daya (10 peratus). – MalaysiaGazette