Wakil rakyat baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri menyantuni masyarakat cina selepas memenangi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning semalam di pekan Air Kuning, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 APRIL 2025.

TAPAH – Dr Mohamad Yusri Bakir hari ini memulakan tugasnya sebagai wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan meninjau projek baik pulih rumah yang didiami seorang warga emas di Kampung Jawa Batu Masjid hari ini.

Menurutnya, projek baik pulih rumah tersebut adalah antara usaha dilaksanakan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang telah diluluskan pada Mac lalu.

“Insya-Allah, kerja baik pulih akan dimulakan sama ada minggu depan ataupun esok. Kerja baik pulih itu akan melibatkan atap, tingkap dan bahagian mana yang diperlukan mengikut perincian yang telah dibuat semasa permohonan sebelum ini.

“Ini adalah satu usaha berterusan bagi memastikan bantuan dan juga keselesaan penduduk dapat kita ikhtiarkan.

“Sudah pasti ia adalah sebahagian daripada perancangan dan usaha yang dilakukan oleh YB (Yang Berhormat) Ishsam sebelum ini.

“Kita juga dapat lihat kesannya hari ini dan berharap usaha-usaha ini akan diperluaskan kepada mereka yang memerlukan di DUN Ayer Kuning,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut komited dalam memastikan manifesto tiga tekad, tujuh tawaran yang dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning dilaksanakan.

“Bantuan tersebut juga salah satu daripada aspirasi tawaran kita punya manifesto sebenarnya sudah berlaku di zaman Allahyarham dan kita meneruskan usaha-usaha tersebut.

Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Mansor Selamat, 87, berkata, rumah tersebut dibina sendiri olehnya sekitar 1960-an.

“Dulu bila rumah bocor dan rosak, kerajaan juga yang bantu.

“Alhamdulillah, saya gembira dan senang hati apabila ada wakil rakyat yang prihatin. Dulu pun arwah YB dua kali datang tengok rumah di sini,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Yusri atau lebih mesra disapa Ustaz Yusri meluangkan masa menyantuni rakyat di sekitar DUN Ayer Kuning bagi menzahirkan penghargaan kepada penduduk di kawasan tersebut.

Bermula dengan bersarapan bersama masyarakat di Batu 3, beliau kemudiannya bergerak ke Kampung Batu Masjid untuk meninjau perkembangan projek baik pulih rumah warga emas di kawasan itu.

Seterusnya, Mohamad Yusri singgah sebentar untuk beramah mesra dengan masyarakat Tionghua di pekan Air Kuning serta bertemu orang ramai di Tapah Road.

Keputusan PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan Mohamad Yusri dari Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 5,006 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here