Pemilik restoran Capati Corner Cheese Nan Viral, Mohd Yazid Mohd Ashraf, 44, menunjukkan capati kuah sardin yang menjadi tarikan utama pelanggannya di Temoh, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

BERMULA daripada sebuah gerai kecil, kini restoran Capati Corner @ Cheese Nan Viral mampu menampung sehingga 500 pelanggan pada satu-satu masa selepas beroperasi lebih empat dekad di Temoh berhampiran Pekan Tapah.

Pemiliknya, Mohd Yazid Mohd Ashraf, 44, berkata, restoran itu menjadi tarikan pengunjung kerana terkenal dengan tekstur capati yang lembut dan kekal enak walaupun selepas dibungkus untuk dibawa pulang.

Menurutnya, perniagaan capati yang diwarisi daripada ibunya diambil alih dan dikembangkan sekitar 20 tahun yang lalu.

Restoran Capati Corner Cheese Nan Viral di Temoh, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

“Masa mak meniaga dulu, kedainya kecil saja. Bila saya ambil alih, saya besarkan kapasiti dan naik taraf restoran ini dalam tempoh 15 tahun.

“Keistimewaan restoran ini adalah capatinya yang lembut dan ia adalah resipi turun temurun daripada mak saya,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di restorannya baru-baru ini.

Mohd Yazid yang berdarah campuran Melayu dan Pakistan berkata, setiap hari jualan capatinya boleh mencecah ribuan keping manakala pada hujung minggu, jumlah tersebut boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda.

Pekerja memasak capati di restoran Capati Corner Cheese Nan Viral di Temoh, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

“Harga capati yang dijual juga berpatutan iaitu RM2 sekeping dan pelanggan boleh memilih pelbagai pilihan kuah seperti sardin, kambing, ayam masala dan keema kambing.

“Saya punya capati memang berbeza dengan mana-mana capati yang dijual di luar sana. Pelanggan boleh merasai sendiri perbezaannya,” ujarnya.

Beliau memaklumkan bahawa cheese nan viral adalah antara menu terkenal ia hanya boleh didapati di restoran itu dengan harga RM15 sekeping (atau RM27 untuk set lengkap dengan ayam tanduri) yang turut menjadi pilihan pelanggan untuk mencuba kelainannya.

“Restoran ini turut menawarkan hidangan seperti nasi kandar manakala nasi beriani talam pula menawarkan pilihan 14 set berbeza dengan harga bermula RM39 sehingga RM999.

Set talam ayam sekor di restoran Capati Corner Cheese Nan Viral di Temoh, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

“Set beriani talam yang paling murah dengan lauk ayam seekor boleh dimakan seramai lima hingga tujuh orang, manakala set paling premium mempunyai lauk seperti lobster, king crab dan lamb shank.

Walaupun tidak mempunyai cawangan lain, Mohd Yazid berkata, restoran itu tetap menarik pelanggan luar kawasan malah, rombongan dari luar negara seperti England dan Jepun turut singgah untuk menikmati sendiri hidangan di sini.

“Pelanggan saya kebanyakan dari luar kawasan. Bila ada PRK (Pilihan Raya Kecil), sambutan memang luar biasa. Ada banyak tempahan. Biasanya kami buka dari 7 pagi hingga 7 petang, tapi masa PRK, kami sambung masa perniagaan sehingga 12 tengah malam,” ujar beliau.

Pelanggan restoran Capati Corner Cheese Nan Viral di Temoh, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

Mengakhiri perbualan, beliau turut menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin menceburi dunia perniagaan supaya sentiasa kuatkan semangat untuk berjaya.

“Kalau nak mula berniaga, jangan pedulikan apa orang cakap. Itu perkara biasa. Kuatkan semangat, teruskan je apa yang kita buat. Kalau terlalu ikut cakap orang, semangat boleh jatuh. InshaAllah kalau kita fokus, kita akan berjaya,“ katanya.

Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Sejahtera Ekonomi menggalakkan orang untuk menceburi bidang keusahawanan bagi menambah pendapatan serta membantu dalam meningkatkan ekonomi negeri. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here