KUALA LUMPUR – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda, Kedah telah mengesan kluster Influenza-Like-Ilness (ILI) dalam kalangan pelajar institusi pendidikan di daerah itu pada 23 April 2025 melibatkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah dengan kadar serangan 17.7%.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, enam daripada 28 kes telah disahkan positif Influenza A dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Kesemuanya sudah dibenarkan pulang ke rumah manakala 22 pelajar yang bergejala ILI telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Tindakan kawalan dan pencegahan oleh PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah dilaksanakan termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko di kawasan kem, pengesanan kes secara aktif di institusi pendidikan berkenaan, rawatan serta pengasingan untuk kes bergejala dan pemantauan kes ILI di Daerah Kuala Muda,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pada 23 April 2025, PKD Kuala Muda juga telah menerima notifikasi kejadian seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari institusi pendidikan yang sama.
Pelajar tersebut mengalami gejala demam serta sakit badan terutamanya pinggul kanan pada 18 April 2025 selepas menghadiri sebuah program Kem Jati Diri selama dua hari di sebuah pusat rekreasi di daerah Yan, Kedah.
Di samping itu, terdapat seorang kakitangan daripada institusi pendidikan yang sama mengalami gejala demam, kelesuan, batuk, dan sakit badan sejak 17 April 2025.
Kedua-dua kes ini telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim dan berada dalam keadaan stabil. Ujian yang telah dijalankan menunjukkan kedua-dua kes adalah negatif untuk jangkitan virus Influenza.
Punca jangkitan untuk kedua-dua kes ini masih dalam siasatan.
“KKM menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan. -MalaysiaGazette