MELAKA – Seorang mekanik direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan selama lima tahun sejak mangsa berusia tujuh tahun.
Perintah reman ke atas suspek bujang berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari bermula hari ini sehingga 4 Mei ini.
Ia membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Menurut sumber, kejadian terbongkar Jumaat lalu selepas ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang guru meminta dia datang ke sekolah anaknya itu berusia 12 tahun.
“Sebaik tiba di sekolah, guru terbabit memberitahu mangsa mengadu telah dicabul oleh anak lelaki pengasuhnya sejak dia berumur 7 tahun lagi di rumah pengasuhnya itu di Kampung Batang Tiga, di sini.
“Kejadian berlaku sehingga kali terakhir pengadu menghantar anaknya itu ke pengasuh berkenaan pada penghujung Disember lalu.
“Pengadu berusia 42 tahun terkejut kerana anaknya tidak pernah menceritakan apa-apa namun menyedari mangsa mula menunjukkan sikap suka menyendiri sejak berumur sembilan tahun,” katanya.
Tambahnya, mangsa mendakwa dia telah dicabul oleh anak lelaki pengasuhnya berusia 28 tahun dengan cara meraba di bahagian dada dan kemaluan berulang kali.
“Perbuatan jijik itu dikatakan berlaku semasa berada di bilik ketika ibu suspek sedang sibuk di dapur.
“Susulan itu, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga, Sabtu lalu sebelum membawa anaknya itu ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar psikiatri,” katanya. – MalaysiaGazette