Filem Balas Balik muncul dengan genre penyiasatan jenayah, membawa bersama nilai suspens dan dramatik sebagai taruhan.

KUALA LUMPUR – Peminat wayang mungkin kurang mesra dengan sentuhan Feroz Kader selaku pengarah naskhah layar lebar namun di gelanggang skrin televisyen, namakan sahaja kisah bagaimana yang tidak dihadaminya.

Bagi lelaki lewat 40-an itu tentang antusiasinya dalam pembikinan filem, Feroz bukan dalam kelompok pengarah yang bercita-cita bajet mega kerana filem harus ada tembakan berdentam-dentum, letupan kereta atau bangunan serta babak pertarungan hidup mati, namun filem berpaksikan cerita.

Cerita harus ada makna, warna dan memberi rasa, sama seronok atau resah, marah atau nyaman, menginsafkan atau barangkali juga sedikit kesedaran untuk dibawa pulang.

Itu yang cuba digarap menerusi Balas Balik, sebuah karya daripada air tangannya yang bakal ditayangkan pada 29 Mei ini.

Menampilkan aktor popular, Shukri Yahaya sebagai penggerak naratif, Balas Balik menjadi naskhah filem ketiganya selepas mencuri kelainan menerusi Seratus yang ditayangkan 2022.

Daripada Seratus sebuah karya dengan plot penuh bersilang emosi resah, Balas Balik hadir dengan sebuah penyiasatan bergaya. Seorang detektif khas, Detektif Zul (Shukri Yahaya) ditugaskan menyelesaikan ‘puzzle’ penyiasatan kes kematian mengejut seorang CEO.

Bukan filem kepolisan yang sering ada di pasaran, Sheriff atau Polis Evo, Balas Balik muncul dengan genre penyiasatan jenayah, membawa bersama nilai suspens dan dramatik sebagai taruhan.

“Bila filem genre begini, story line (cerita) sangat penting. Kami fokus dalam penghasilan skrip. Tiga bulan juga saya ambil masa, berbincang dan tulis.

‘Penerbit mahukan kelainan dan saya pun suka. Dari awal, Balas Balik memang asalnya filem bukan drama,” kata Feroz yang pernah menghasilkan Mr. Perfect 10.

Shukri Yahaya sebagai penggerak naratif.

Untuk Balas Balik, banyak unsur digabungkan. Masih ada elemen komersial, bukan dark movie atau art house filem.

“Penonton boleh hubung kait konsep sebegini dengan filem-filem penyiasatan Hollywood. Kami kena pastikan setiap babak ada motif supaya penonton kekal dalam momentum sehingga bertemu jawapan di hujung cerita.

“Nak kekalkan adrenalin, rasa ingin tahu sepanjang cerita dan babak-babak itu sangat penting. The hidden point perlu kemas.

“Kalau cerita hantu kena ada jumpscare, filem ini terletak kepada nilai suspens. Itu yang jadi hook (kata kunci) yang pegang, gam perhatian penonton sampai habis. Penonton kena seronok,” katanya yang tetap menerapkan mesej dalam berkarya.

Seperkara lagi, Balas Balik tidak hanya fokus kepada watak utama, Detektif Zul.

“Ada banyak watak lain yang turut diberi penekanan, semua ada motif dan karakter mereka harus dikeluarkan,”katanya.

Diterbitkan Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd, Balas Balik akan melilau mencari jawapan apabila seorang CEO sebuah syarikat telekomunikasi, Datuk Roslan (Tony Eusoff) ditemui mati di pejabatnya sendiri.

Mulanya diklasifikasikan kes bunuh diri, Detektif Zul yang mengetuai siasatan menemui petunjuk yang mendorongnya menyiasat semua kakitangan syarikat tersebut termasuk ahli keluarga yang mempunyai motif untuk membunuh pegawai tertinggi itu.

Satu demi satu jawapan terungkai sehingga akhirnya menemui kebenaran yang mengejutkan.

Filem dengan barisan pelakon hebat seperti Shukri Yahaya, Tony Eusoff, Marisa Yasmin, Zarul Umbrella, Adam Lee, Meor Mohd, Razman Mahayudin, Josiah Lim dan Maisara Sufia tersebut bakal  menggeledah ruang panggung bermula 29 Mei nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here