KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan bekas Perdana Menteri itu kecewa dengan prosiding kes berkaitan titah adendum yang sudah mengambil masa lebih setahun lima bulan.
Ia sekaligus ‘menganggu’ keadilan buat Najib yang sepatutnya sudah boleh menjalani hukuman penjara sebagai tahanan rumah walaupun titah itu sudah diperkenankan sejak awal Januari 2024 lagi, katanya.
Menurut Muhammad Shafee, keputusan hari ini di mana Mahkamah Persekutuan membenarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat rayuan terhadap kes semakan kehakiman benar-benar mengecewakan kerana masa panjang akan diambil untuk prosiding-prosiding seterusnya sebelum keputusan dibuat.
“Anak guam kami amat kecewa kerana setelah lebih setahun empat bulan menunggu, prosiding ini sekali lagi ditangguhkan.
“Sedangkan kita tahu dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16, iaitu Sultan Pahang sekarang telah pun mengesahkan wujudnya adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib menjalani hukuman di rumah, bukannya di penjara,” kata pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Muhammad Shafeeu turut menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini dalam dua ucapan terbuka telah mengakui adanya titah adendum tersebut walaupun menyatakan dokumen itu kini berada dalam simpanan pihak lain.
“Memandangkan adendum itu memang wujud, saya dan klien saya tidak faham mengapa masih ada dolak-dalik berhubung kesahihannya.
“Yang menjadi persoalan utama ialah mengapa semakan penuh terhadap addendum itu masih tidak dibenarkan? Ini seolah-olah menunjukkan wujudnya usaha untuk menyembunyikan sesuatu, dan perbuatan itu tidak sah dari sudut undang-undang,” katanya lagi.
Muhammad Shafee juga menegaskan, pasukannya sedang merancang tindakan undang-undang terhadap individu-individu tertentu yang didakwa terlibat dalam isu berkenaan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Titah adendum: AG dibenar kemuka 7 persoalan undang-undang berkepentingan awam