Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar

JOHOR BAHRU – Bekas suami kepada pempengaruh media sosial, Kim Seri ditahan polis bagi membantu siasatan dipercayai membabitkan kes penipuan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun yang ditahan itu merupakan pemilik kepada akaun syarikat Cikgu Kimchi Trading.

“Polis mengesahkan tahanan bekas suami ‘influencer’ Kim Seri untuk siasatan. PS (kenyataan media) menyusul,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Kim Seri yang menetap di Korea Selatan mendapat perhatian selepas beberapa individu tampil mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan yang dikelolakan wanita itu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM500,000.

Susulan dakwaan itu, Kim Seri telah membuat permohonan maaf dan berjanji akan membayar semula wang pelanggan selewat-lewatnya pada 1 Februari 2025.

Selepas itu, tular perbualan WhatsApp Kim Seri dengan seorang individu dipercayai kakak kepada bekas suaminya itu yang mengesahkan lelaki berkenaan ditahan polis di Johor Bahru.

Berita penahanan itu tular sejurus berita penikahan Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina, dengan seorang jejaka Korea Selatan, Choi Amin disiarkan.

Kumar mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan syarikat itu digunakan untuk menerima pembayaran daripada mangsa yang terpedaya dengan tawaran untuk melancong ke Korea.

“Selain Kontinjen Johor, siasatan juga mendapati suspek terbabit dengan modus operandi kes yang sama di lain-lain kontinjen. Siasatan kes masih diteruskan,” ujar Kumar.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, lapan kertas siasatan dibuka terhadap kes penipuan tersebut membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, IPD Kota Tinggi, IPD Seri Alam, IPD Iskandar Puteri, IPD Muar dan IPD Kluang.

“Kertas siasatan terhadap suspek akan dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk nasihat selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here