Seekor gajah Pygmy Borneo yang dipenggal kepala dan kaki yang berlaku di Sabah, baru-baru ini. - Foto: SUMBER SabahMedia.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam tindakan pemenggalan kepala tiga ekor gajah Pygmy Borneo di Sabah yang dibunuh dalam tempoh tiga bulan berturut-turut tahun ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya mengesyaki penebangan hutan sebagai ancaman terbesar serta pemacu utama konflik antara manusia dan gajah memandangkan ia membuka ruang kepada peluasan ladang monokultur baru sehingga menyebabkan kehilangan habitat akibat pemecahan hutan.

Katanya, selagi tiada penguatkuasaan berkesan di lapangan, amaran keras dan insentif daripada pihak berkuasa tidak akan membawa sebarang kesan.

Mohideen turut menegaskan pembangunan Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak turut mengancam Hutan Simpan Tawai di Telupid iaitu habitat kepada kumpulan besar gajah liar.

Mohideen.
Mohideen.

“Pembinaan jalan raya yang merentasi habitat utama gajah akan memudahkan aktiviti pemburuan gading dan pemburuan haram.

“Perlu ada rondaan pada waktu malam di sepanjang laluan Kalabakan yang kini pada dasarnya sudah menjadi “lebuh raya pemburu,” serta penguatkuasaan di dalam hutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, berdasarkan penilaian Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dalam penerbitan pada Jun tahun lalu, gajah di Kepulauan Borneo kini berada dalam kategori terancam.

“Hanya sekitar 1,000 ekor gajah Borneo didapati masih hidup di habitat liar, berbanding anggaran sebelumnya iaitu sebanyak 1,500 ekor.

“Memandangkan Pygmy Borneo diiktiraf sebagai spesies terancam oleh Senarai Merah IUCN, tindakan serius bagi perlindungan dan pemuliharaan populasi gajah di Sabah yang semakin berkurangan amat diperlukan.

“Tanpa pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, peraturan ketat serta hukuman berat termasuk denda tinggi dan hukuman penjara tidak akan mampu menghalang pembunuhan gajah ini,” katanya.

Sehubungan itu, CAP bersama pencinta alam sekitar lain menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengkaji semula jajaran jalan yang dicadangkan.

“Kita mengesyorkan agar laluan alternatif dibangunkan supaya habitat utama gajah tidak terganggu demi memastikan kelangsungan populasi spesies tersebut.

“Pengukuhan penguatkuasaan undang-undang amat penting, termasuk rondaan berkesan oleh pegawai penguat kuasa renjer taman serta penggunaan teknologi seperti dron dan kamera perangkap untuk memantau kawasan hutan lebih dalam.

“Segala usaha mesti digembleng untuk melindungi gajah kerdil Borneo ini daripada terus pupus,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang tampil memberi maklumat berhubung kes pembunuhan gajah pygmy di kawasan hutan Tibow, Kalabakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here