MELAKA – Seorang guru sebuah sekolah kebangsaan maut dalam nahas ketika perlumbaan catatan masa terpantas di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), Durian Tunggal, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa berusia 48 tahun, beralamat di Taman Pulai Perdana, Negeri Sembilan
disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada jam 10 malam akibat parah di kepala.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan jalan raya dipercayai berlaku ketika pemandu kenderaan jenis Honda Civic itu sedang melalui selekoh tajam di litar bagi merekodkan catatan masa terpantas.

“Sebaik tiba diselekoh, kenderaannya dipercayai tiba-tiba hilang kawalan dan lalu terbabas sendiri ke kiri litar sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka akibat cedera parah di kepala
“Bagaimanapun kira-kira jam 10 malam, polis menerima maklumat mangsa telah meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat diserahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik untuk proses bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis masih melakukan siasatan sama ada nahas berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal kenderaan atau kelemahan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak penganjur.
“Insiden kemalangan maut di litar ini bukanlah yang pertama, jadi kita minta pihak peserta dan penganjur supaya sentoiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap kali penganjuran perlumbaan,” tegasnya.
Dzulkhairi berkata, kenderaan telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette