CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan sifat kemalangan di tempat kerja dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut menterinya, Steven Sim Chee Keon, kadar kecederaan di tempat kerja dalam tempoh 10 tahun sejak tahun 2014 telah menurun sebanyak 17 peratus manakala kadar kematian di tempat kerja turut berkurangan hampir 40 peratus.
“Setiap kemalangan dan kecederaan ialah kehilangan dan kesusahan 100 peratus buat mangsa dan keluarga mereka. Dalam banyak-banyak perkara yang ingin dicapai oleh KESUMA ialah angka sifar dalam insiden kemalangan pekerjaan.
“Kita bekerja keras untuk mencapai sasaran ini. Ini selaras dengan konsep 3K iaitu Kebajikan Pekerja, Kemahiran Pekerja dan Keberhasilan Pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan hari ini.
Sambutan bertemakan Merevolusikan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan AI dan Pendigitalan Di Tempat Kerja.
Tambah Steven, teknologi AI telah digunakan dalam pemantauan tapak pembinaan dengan mempertingkatkan penggunaan dron.
Menurutnya, sebanyak 800 penerbangan dilakukan tahun lalu bagi tujuan siasatan serta pemantauan dan sebanyak 119 notis berkaitan keselamatan pekerjaan telah dikeluarkan.
“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sekarang telah menggunakan teknologi dron untuk kerja-kerja siasatan dan pemantauan. Operasi penerbangan melihat kepada peningkatan keberhasilan penguatkuasaan.
“Lebih banyak penguatkuasaan dapat dijalankan dalam masa yang singat tanpa memerlukan pengawai kita pergi ke sana dan sini. Contoh bilangan pemantauan yang dapat dibuat, kalau dulu maksimum dua tapak sehari tanpa menggunakan dron.
“Tapi sekarang kita naikkan 100 peratus sehingga empat tapak untuk setiap hari. Amaran kepada syarikat-syarikat yang tidak mengikut peraturan, kami dan dron pantau anda,” katanya
Sejak tahun lalu menurut beliau teknologi Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) telah digunakan dalam menyiasat kes kemalangan di tempat kerja sekali gus bagi mengurangkan kadar kecederaan dan kematian semasa bekerja.
Satu makmal AR dan AR ditelah diwujudkan oleh JKKP di bawah program OSH Technology and Advancement (OTA).
Jenis kemalangan di tapak pembinaan yang boleh menguna pakai kaedah itu adalah dihempap objek jatuh, terjatuh dari tempat tinggi dan tanah tebing runtuh.
Bagi kemalangan berlaku di kilang, kaedah itu dapat digunakan untuk kes dilanggar jentera pengangkut, tersepit stamping machine dan tersepit conveyor belt.
Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) dan Telekom Malaysia Berhad.
Sejumlah 2,500 orang peserta hadir secara fizikal dan 13,000 orang peserta secara maya terdiri daripada wakil-wakil majikan dan pekerja daripada Telekom Malaysia Berhad dan subkontraktor, pihak industri serta badan bukan kerajaan.
Turut berlangsung bacaan “Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan” oleh peserta dan tercatat sebagai Ikrar KKP Terbesar oleh Majikan dan Pekerja di Malaysia dalam Malaysian Book of Records.
Satu kempen Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara oleh majikan dan pekerja seluruh Malaysia turut dimulakan hari ini untuk memecahkan rekod dunia, Guinness World Records yang dipegang negara India dengan 318,445 penyertaan.
Kempen sehingga 4 Ogos depan menyasarkan seramai 350,000 penyertaan daripada majikan dan pekerja di Malaysia.-MalaysiaGazette