Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (tengah) bercakap kepasa wartawan ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini menyatakan rasa terharu apabila dimaklumkan bahawa kes berkaitan pelaksanaan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak telah tertangguh lebih setahun empat bulan.

Perkara itu didedahkan oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang turut mengesahkan bahawa mahkamah telah membenarkan permohonan untuk mendengar rayuan penuh berhubung isu tersebut.

Menurut Shafee, Mahkamah Persekutuan pagi tadi telah memutuskan rayuan penuh akan didengar pada 1 dan 2 Julai ini selain mengambil maklum isu dibangkitkan bukan sahaja berkaitan hak peribadi seorang warganegara tetapi juga melibatkan kepentingan awam dan dasar awam, justeru memerlukan penyelesaian segera.

Jelas Shafee, mahkamah juga mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya memfailkan rayuan rasmi dalam tempoh tujuh hari, berbeza dengan amalan biasa yang lazimnya memberikan tempoh 14 hari.

“Keputusan pagi ini melibatkan dua perkara penting iaitu permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman penuh terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, serta persoalan berhubung kemasukan keterangan baharu termasuk surat dan dokumen addendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Kedua-dua isu itu dilihat sebagai saling berkait dan akan diputuskan secara menyeluruh dalam rayuan penuh nanti,” katanya kepada media di lobi Mahkamah Tinggi di sini petang tadi.

Shafee turut menjelaskan terdapat persoalan undang-undang yang perlu diperjelaskan, antaranya berkaitan tahap pembuktian   yang perlu digunakan apabila mahu memasukkan keterangan baru.

Katanya, Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada perlu mengikut prinsip dalam kes Ladd v Marshall atau peraturan yang ditetapkan dalam Regulation 738 Mahkamah Persekutuan.

Ini penting kerana menurut beliau, keputusan dalam kes-kes sebelum ini menunjukkan ada ketidakselarasan dalam penerapan standard pembuktian tersebut.

“Mahkamah Persekutuan juga akan meneliti sama ada AGC dalam kes ini bertindak secara sah apabila mewakili pelbagai pihak dalam permohonan membantah semakan kehakiman Najib.

“Ini berikutan perubahan peranan Peguam Negara di peringkat Mahkamah Rayuan yang pada mulanya hanya bertindak sebagai penasihat undang-undang kerajaan tetapi kemudiannya turut mewakili enam responden lain,” ujarnya.

Shafee menegaskan Mahkamah Persekutuan sendiri amat prihatin dengan kelewatan yang berlaku, mengingatkan bahawa addendum berkenaan telah dikeluarkan pada 29 Januari 2024, namun isu mengenainya masih belum diselesaikan.

Katanya, kes ini melibatkan hak kebebasan asas seorang rakyat Malaysia dan atas sebab itu mahkamah mahu perkara ini dipercepatkan.

Beliau turut memberitahu bahawa dalam prosiding pagi tadi, semua pihak bersetuju supaya semua tindakan berkaitan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi digantung buat sementara waktu, sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan selepas pendengaran pada bulan Julai nanti.

“Kita memang kesal sangat-sangat kerana walaupun pasukan pembelaan telah berkali-kali memohon Mahkamah Tinggi untuk mempercepatkan pendengaran kes ini, namun tiada tindakan konkrit diambil, menyebabkan kelewatan yang tidak sewajarnya berlaku.

“Kami sudah banyak kali minta Mahkamah Tinggi jalankan kes ini lebih awal. Malangnya tidak berlaku. Sebab itu saya menekankan hari ini bahawa keprihatinan Mahkamah Persekutuan terhadap kelewatan ini sangat penting untuk menunjukkan keperluan segera menyelesaikan isu ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here