CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung penyebaran maklumat palsu dan pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran.
Menurut MCMC, siasatan dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dengan dua sesi rakaman percakapan diadakan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, masing-masing pada 25 dan 28 April.
Hasil siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja, selain cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tertentu dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu.
“Tindakan sedemikian berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, serta mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat.
“Kami ingin juga menekankan bahawa setiap aduan akan disiasat secara profesional mengikut prosedur yang adil, tanpa mengambil kira status, populariti atau pengaruh mana-mana individu,” katanya.
Pada masa sama, MCMC mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan berkaitan isu 3R iaitu agama, kaum dan Institusi Diraja serta kandungan bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, pempengaruh media sosial terbabit dilihat hadir di Ibu Pejabat MCMC jam 11.19 pagi tadi untuk memberi keterangan.
Pempengaruh itu sebelum ini memaklumkan melalui media sosial bahawa beliau dipanggil pihak berkuasa untuk dirakamkan keterangan.
Tindakannya menawarkan untuk melakukan semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah Anwar, anak kepada Perdana Menteri, menjadi punca siasatan ini dilancarkan.
Bagaimanapun, tindakan MCMC memanggil beliau telah menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada pihak yang menganggap langkah itu keterlaluan dan berpotensi menjadi bentuk penyalahgunaan kuasa, memandangkan pempengaruh berkenaan sebelum ini pernah melakukan semakan latar belakang terhadap beberapa tokoh lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng tanpa dikenakan sebarang tindakan. – MalaysiaGazette