Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas yang dituduh cuba mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura, Datuk Iskandar Abdul Samad menimbulkan persoalan mengenai ketelusan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara negara itu.

Iskandar yang juga Bendahari Pas dalam satu kenyataan berkata. bagaimana rakyat Singapura dilihat bebas untuk memberi pandangan dan menjalankan kajian terperinci terhadap politik Malaysia tanpa dikenakan sekatan atau tindakan undang-undang.

Tegasnya, perkara itu dihalang apabila melibatkan rakyat negara lain yang memberikan pandangan mengenai politik Singapura.

“Mengapa rakyat Malaysia tidak dibenarkan mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Singapura yang sedang berlangsung, walaupun melakukannya dari negara mereka sendiri?

“Malah, menyebut nama calon dalam hantaran media sosial dianggap sebagai campur tangan asing dan boleh menyebabkan kandungan tersebut disekat di Singapura.

“Sementara itu, rakyat Singapura bebas untuk mengulas dan menjalankan kajian mendalam mengenai politik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar melahirkan rasa terkejut apabila dituduh cuba mempengaruhi keputusan PRU Singapura.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, apa yang dikongsinya di media sosial adalah laporan mengenai beberapa calon Muslim yang menonjol dari parti pembangkang yang bertanding pada pilihan raya itu.

Katanya, beliau tidak pernah menggesa pengundi di republik itu untuk mengundi berdasarkan kaum atau agama.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, pada 2018, Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS)–Institut Yusof Ishak yang berpangkalan di Singapura telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “The Defeat of Barisan Nasional”, yang menjemput individu termasuk rakyat Malaysia untuk berkongsi pengalaman mereka.

“Saya juga telah dijemput untuk menyumbang sebuah artikel bertajuk “Chempaka, Selangor : Keeping the Faith.”

“Tidakkah ini boleh dilihat sebagai usaha untuk mempengaruhi pemikiran politik rakyat Malaysia?, soal beliau.

Sebelum ini, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Singapura yang mengeluarkan arahan kepada Meta untuk menyekat akses kepada beberapa contoh Iklan Pilihan Raya Online (OEA) yang dimuat naik di Facebook oleh warga asing termasuk dua pemimpin Pas.

Terdahulu, laporan media dari republik itu mendakwa, Iskandar dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dikenal pasti cuba campur tangan dalam PRU 2025 Singapura.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, tindakan sebilangan warga asing yang menggesa rakyat negara itu mengundi berlandaskan agama adalah sesuatu yang melampaui batas.

Lawrence Wong menegaskan bahawa politik berasaskan kaum dan agama tidak boleh sama sekali dibiarkan mengakar dalam sistem politik negara itu, apatah lagi dengan campur tangan pihak asing.

Beliau berkata, kekuatan Singapura selama ini terletak pada perpaduan rakyat merentasi kaum dan agama serta hasil usaha tekun generasi terdahulu yang mesti dipelihara dengan penuh tanggungjawab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here