hasbie muda pemuda amanah
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda.

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional mengecam tindakan dua pemimpin Pas yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman berkaitan Pilihan Raya Umum Singapura, sambil menyifatkannya sebagai tindakan yang memalukan Malaysia di mata dunia.

Ketuanya, Hasbie Muda berkata, kenyataan berbaur perkauman itu bukan sahaja melanggar norma hubungan antarabangsa, malah berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan Singapura yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat wajib menghormati kedaulatan dan undang-undang negara lain.

“Sebarang cubaan untuk mempengaruhi politik domestik Singapura, apatah lagi menggunakan sentimen kaum dan agama, adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan ketegangan diplomatik yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut laporan Berita Harian Singapura, kedua-duanya didapati mengeluarkan hantaran di Facebook yang menyiarkan komen mereka terhadap politik Singapura.

Di samping itu, terdapat satu penerbitan Pas, Harakah Daily, yang telah menyiarkan dua artikel pada 22 dan 23 April, menukil komen mengenai keadaan masyarakat Melayu di Singapura dan GE2025.

Kedua-dua artikel itu bertajuk, ‘PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol’ dan ‘Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar’.

Menurut Hasbie, memberikan komen terhadap perkembangan politik di luar negara bukanlah satu kesalahan dari segi prinsip.

Namun, beliau menegaskan, cubaan mempengaruhi pola pengundian rakyat Singapura berdasarkan kaum dan agama merupakan tindakan yang bertentangan dengan nilai demokrasi inklusif.

“Keprihatinan terhadap komuniti Melayu di Singapura tidak boleh dijadikan alasan untuk mencampuri urusan politik negara itu.

“Pemimpin seharusnya menunjukkan kebijaksanaan dalam menimbang sensitiviti politik dan undang-undang negara jiran,” tambahnya.

Hasbie turut mengingatkan bahawa tindakan pemimpin Pas yang tidak berhemah itu bukan sahaja mencemarkan nama baik parti mereka, malah turut memberi kesan buruk kepada imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Hubungan baik Malaysia-Singapura perlu dipelihara dengan penuh rasa hormat, adab diplomasi, dan tanggungjawab bersama.

“Malaysia mesti kekal sebagai rakan serantau yang dipercayai dan disegani, bukannya menjadi bahan cemuhan akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin politik,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah menyeru agar pemimpin Pas lebih berdisiplin dalam menguruskan hal ehwal antarabangsa, dan mengutamakan keharmonian serantau berbanding kepentingan politik sempit.

“Kita mesti menjaga maruah negara, bukan memalukan Malaysia dengan modal perkauman sempit,” tegas Hasbie. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here