Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar

JOHOR BAHRU – UMNO Bahagian Johor Bahru mendakwa sudah beberapa kali sejak puluhan tahun lalu memperjuangkan isu status Kampung Melayu Majidee di sini namun tidak berjaya.

Ketuanya, Datuk Yahya Jaafar berkata, ia kerana status tanah tersebut terikat dengan peruntukan Akta Kanun Tanah Negara.

“Apabila semakan dibuat terhadap Akta Kanun Tanah Negara, ia memang tidak membenarkan tanah rizab Melayu ditukar kepada milikan kekal. Jadi, tidak perlulah membuang masa mencuba perkara yang mustahil.

“Ia tidak boleh berlaku kerana bila kita rujuk semula kepada Kanun Tanah Negara, ketika itu Datuk Obet Tawil jadi Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, dia mengatakan kawasan-kawasan rizab Melayu itu memang tak boleh dijadikan kekal.

“Atas sebab Kanun Tanah Negara tidak membolehkan kerana sebahagian besar tanah-tanah yang terlibat dalam rizab Melayu dalam bandar ini adalah tanah kurniaan.

“Jadi saya nasihatkan kepada mereka, tak payahlah buang masa kerana rizab itu tidak akan menjadi realiti sebab atas Kanun Tanah Negara memang tidak membolehkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Galeri Jualan Perdana Paragon Globe Berhad (PGB) di sini, hari ini.

Yahya berkata, pilihan yang boleh dilakukan ketika ini adalah melakukan permohonan lanjutan mengikut berapa lama dimahukan sama ada 30, 60 atau 99 tahun.

Langkah itu, katanya, ia perlu dilakukan memandangkan status tanah rizab menyukarkan sebarang pertukaran daripada pajakan kepada hak milik kekal.

Media sebelum ini melaporkan lebih 40,000 penduduk kampung itu berdepan isu tempoh pajakan negeri 99 tahun hampir tamat.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff berkata, mereka berdepan risiko kehilangan tanah apabila tempoh pajakan hanya berbaki 28 tahun sahaja lagi.

Abdul Rahim dilaporkan meminta bantuan pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan segera.

Beliau berkata, status tanah rizab pajakan negeri 99 tahun itu bakal berakhir pada 2053 atau 28 tahun lagi sekali gus membuatkan penduduk bimbang masa depan mereka termasuk sama ada kampung berkenaan akan dibangunkan secara komersial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here