Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi Pendengaran permohonan AGC berhubung perintah larangan bersuara (gag order) berkaitan kewujudan titah adendum di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pendengaran permohonan perintah larangan bersuara (gag order) berhubung isu Titah Adendum dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan tersebut selepas dimaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan pada pagi ini telah membenarkan rayuan Peguam Negara (AGC) untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memberikan Najib kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.

Sehubungan itu, mahkamah turut menggantung sementara prosiding berhubung usaha Najib untuk menguatkuasakan satu perintah diraja yang didakwa membenarkannya menjalani hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili pihak kerajaan memaklumkan mahkamah bahawa Mahkamah Persekutuan telah menetapkan untuk mendengar rayuan tersebut.

Prosiding berkaitan kedua-dua permohonan akan disambung selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Mahkamah juga menetapkan 3 Julai depan bagi pengurusan kes berkaitan ini.

Keputusan penangguhan ini selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan AGC untuk merayu terhadap kes semakan kehakiman Najib yang memohon suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 20 Januari lalu, Timbalan Ketua Bahagian Sivil, AGC, Shamsul Bolhassan, dilaporkan berkata AGC sudah memfailkan permohonan ‘gag order’ itu menerusi e-Filing.

Pada 13 Januari lalu, Shamsul berkata, AGC akan meneruskan permohonan berkenaan atas alasan untuk melindungi institusi diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif, iaitu raja, agama dan kaum (3R).

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here