JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor Bahru akan bertemu dengan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru berkenaan desas desus pertukaran kerusi Parlimen Johor Bahru pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN Johor, Datuk Yahya Jaafar akan melakukan pertemuan dengan Mohamad Taufiq Ismail yang baru menang jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru minggu lalu.
“Kami ucapkan tahniah kepada Taufiq, kami percaya kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru akan menjadi lebih baik selepas ini. Kerana ketika Akmal (Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bekas Ketua Cabang PKR Johor Bahru) menerajui PH Johor Bahru, tiada sebarang ‘engagement’ antara kami.
“Berbeza dengan Taufiq, selepas menang jawatan tersebut dia terus hubungi saya dan kami bersetuju mengadakan pertemuan minggu depan untuk membincangkan tentang kerjasama di Parlimen ini.
“Saya juga akan bertanya kepadanya nanti mengenai khabar angin ini mengenai agenda pertukaran kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Galeri Jualan Perdana Paragon Globe Berhad (PGB) di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng.
Kelmarin, Mohamad Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor tidak bersetuju cadangan pertukaran beberapa kerusi di negeri ini melibatkan Parlimen Johor Bahru dan Pasir Gudang antara BN dan PH untuk PRU16.
Mohamad Taufiq dilaporkan berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan berharap tiada pertukaran kerusi di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Yahya berkata, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berkenaan cadangan pertukaran kerusi tersebut.
Kerusi Parlimen Johor Bahru kini disandang Akmal Nasrullah yang kalah pemilihan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Johor Bahru di tangan Mohamad Taufiq.
Yahya berkata, pihaknya akan menghormati dan bersedia menerima sebarang keputusan pucuk pimpinan parti nanti.
Bagaimanapun katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, sehingga ini pihaknya belum menerima maklumat rasmi mengenai perkara tersebut.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan kepada calon PH di parlimen itu, sekiranya masih dalam Kerajaan Perpaduan pada PRU16.
“Ini perkara baharu bagi saya, apa yang saya dengar khabar angin ini hanya membabitkan Parlimen Pasir Gudang, khususnya selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan tidak akan bertanding semula.
“Mungkin khabar angin sahaja, tetapi apa-apa keputusan dibuat kepimpinan, kita akan akur.
“Konsep yang ada sekarang ini kalau BN tak bertanding sendiri, dan bertanding secara Kerajaan Perpaduan. Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sudah katakan kita kena akur, jadi kita sokong (sekiranya calon PH menjadi calon di Parlimen Johor Bahru),” katanya.- MalaysiaGazette