KUALA LUMPUR – Peguam utama mewakili Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan, tiada sebarang keterangan mengaitkan anak guamnya dalam konspirasi jenayah membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat (AS).
Malah menurutnya, salah seorang saksi yang dibawa dari AS, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa sendiri seolah-oleh terkejut apabila nama Najib dikaitkan dengan skandal penyelewengan itu di Mahkamah Tinggi pada minggu lepas.
Kata Muhammad Shafee, Roger yang kini sedang berdepan 10 tahun penjara oleh mahkamah di AS atas tiga pertuduhan melakukan konspirasi dan penyelewengan berkaitan dana 1MDB menegaskan Najib tidak langsung terlibat dengan skandal itu.
“Selain Roger Ng, mahkamah di AS juga mendapati bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner juga telah disabitkan bersalah namun masih menunggu hukuman manakala Low Taek Jho atau Jho Low yang turut dituduh masih bebas dan belum dibicarakan kerana belum dapat ditangkap.
“Apa yang penting di sini, nama Najib langsung tidak dikaitkan dalam skandal ini. Malah apabila beliau disapina menjadi saksi pembelaan dalam kes 1MDB minggu lepas, Roger Ng secara tegas menyatakan bahawa Datuk Seri Najib tidak terlibat.
“Roger Ng terkejut apabila nama Datuk Seri Najib disebut. Beliau mengesahkan tiada keterangan langsung di mahkamah New York yang menunjukkan penglibatan Datuk Seri Najib dalam konspirasi 1MDB,” katanya pada sidang media di luar perkarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Muhammad Shafee lagi, kenyataan itu amat penting kerana ia konsisten dengan fakta-fakta kes sebelum ini oleh pasukan pembelaan dan turut membuktikan bahawa siasatan agensi-agensi seperti Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Federal Bereau Investigation (FBI) tidak pernah secara langsung mengaitkan Najib dalam skandal berkenaan.
“Kes 1MDB ini bermula daripada aduan DOJ sendiri tetapi kini kita tahu dengan jelas bahawa badan-badan berwibawa seperti FBI tidak pernah melaporkan penglibatan Najib dalam kes ini,” tegasnya.
Khamis lepas, Roger yang merupakan saksi pembelaan ke-25 dalam prosiding penyewelengan dana 1MDB membabitkan Najib menegaskan, Najib tidak pernah menjadi sebahagian daripada konspirasi tersebut di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Kata Roger, beliau tidak percayai Najib adalah sebahagian daripada konspirasi yang didalangi oleh Jho Low dan bekas rakan sekerjanya, Tim Leissner.
Menurut Roger, pembelaannya dalam kes di AS telah menjelaskan beliau bukan seorang konspirator sebaliknya menyalahkan sepenuhnya Leissner dan Jho Low atas manipulasi dan penyalahgunaan dana 1MDB. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Najib bukan sebahagian konspirasi penyelewengan 1MDB – Roger